malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pentadbir Facebook jelaskan tiada kaitan dengan Nga
ADS

Pentadbir halaman Facebook “94yellowduck” hari ini tampil menafikan hantaran atas talian yang dibuatnya mempunyai kaitan dengan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Merujuk kepada satu hantaran Facebook yang dianggap menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Jacky Chin mengaku hantaran tersebut dibuat olehnya pada 11 Julai.

Namun, beliau menegaskan hantaran itu tidak berniat menghina atau menyinggung Sultan Selangor sebaliknya bertujuan membalas serangan laskar siber BN dan MCA berkenaan isu papan tanda jalan dwibahasa di Selangor.

“Di sini saya juga ingin memohon ampun terhadap Sultan Selangor dan memohon maaf terhadap Nga atas kekecohan yang disebabkan oleh hantaran ini,” katanya dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun tiada laporan polis dibuat hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kebangsaan Pemuda DAP Eric Teh Hoong Keat dan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan DAP Lee Bing Hong.

Jacky juga merupakan pentadbir halaman Facebook yang disebut sebagai “Jiu Shi Huang Ya” (sebelum ini diterjemah sebagai “Yu Xi Wan Yak”) yang memuat naik hantaran asal berkenaan papan tanda dwibahasa di Selangor.

Hantaran sama kemudian dimuat naik semula oleh laman Facebook "Nga Kor Ming Super Fans Page".

Jacky menjelaskan beliau bukan ahli DAP dan langsung tidak mengenali pentadbir halaman Facebook "Nga Kor Ming Super Fans" yang didakwa Nga sebelum ini sebagai palsu.

Menurut Jacky, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields pada jam 11 malam 30 September dan membuat aduan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Malaysia keesokan harinya.

Dalam laporan polisnya, Jacky mendakwa seorang pengguna Facebook dan bekas perdana menteri Najib Razak membuat fitnah apabila mengaitkan hantaran tersebut dengan Nga dan DAP.

“Pada masa saya buat post itu sebab ada penyokong-penyokong BN tidak puas hati dengan keputusan kerajaan Selangor menanggalkan papan tanda jalan yang ada tulisan Cina. Mereka mencabar DAP untuk membantah kepada Sultan Selangor.

“Saya tahu keputusan itu adalah ekoran daripada arahan (titah) Sultan Selangor. Matlamat post saya adalah untuk bagitahu penyokong-penyokong BN jangan marah kerajaan Selangor membuta-tuli.

"Jika tidak puas hati, mereka patut buat aduan kepada Sultan Selangor supaya sultan tahu bahawa mereka tidak puas hati,” tulisnya dalam laporan polis 30 Sept lalu.

Beri penjelasan untuk tenangkan orang Melayu

Jacky menegaskan “orang Melayu ini” yang ditulis dalam hantarannya merujuk laskar siber BN dan MCA serta bukan bertujuan menghina sultan. 

Ini katanya selepas exco Selangor Teng Chang Khim pada Julai lalu berkata polisi mengenai papan tanda dwibahasa di Selangor telah menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan orang Melayu. 

Bagaimanapun katanya hantarannya telah diputarbelit oleh laskar siber BN untuk membangkitkan kemarahan masyarakat Melayu.

“Saya berharap (penjelasan) ini dapat menyenangkan perasaan masyarakat Melayu. Mereka telah dikelirukan, sebenarnya bukan kami yang memainkan sentimen tetapi BN.

“Mereka telah salah faham. Saya tidak berniat menyinggung perasaan Sultan,” jelasnya yang akan memberikan kerjasama kepada polis.

Najib pada Ahad lalu memuat naik hantaran di Facebook menggesa kerajaan bertindak terhadap Nga, yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat kerana didakwa menghasut orang Cina terhadap Sultan Sharafuddin melalui akaun Facebook "Nga Super Fans Page”.

Ia susulan keputusan kerajaan negeri tidak membenarkan papan tanda jalan dwibahasa digunakan di Selangor. 

Hantaran itu seolah-olah mengatakan Sultan Sharafuddin menitahkan agar papan tanda jalan dwibahasa di Shah Alam diturunkan dan menyeru orang Cina yang tidak berpuas hati agar melakukan protes.

Namun, Nga menafikan beliau mempunyai kaitan dengan halaman tersebut dan DAP, serta menggesa Najib meminta maaf kerana berkongsi hantaran itu.

Semalam, Setiausaha Sulit Kanan Nga, Tan Tiong Yih turut membuat laporan polis terhadap Najib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen