malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ganjaran pada penjawat awam dedah rasuah pupuk sifat integriti
ADS

Tawaran ganjaran kepada penjawat awam yang mendedahkan kegiatan rasuah serta penyelewengan dilihat strategi positif dan mampu mendorong lebih ramai individu tampil menyalurkan maklumat mengenainya.

Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata ganjaran itu sekali gus dilihat dapat menggalakkan lagi ketelusan dan memupuk sifat integriti dalam kalangan penjawat awam bagi mengekang gejala rasuah.

"Mana-mana individu tidak sepatutnya berasa takut untuk tampil menyalurkan maklumat (mengenai kegiatan rasuah). Malah, jika ada penjawat awam sendiri yang tampil kepada SPRM untuk memberi maklumat, mereka juga akan diberikan ganjaran.

"Bagaimanapun, maklumat yang diberi amatlah diharapkan mampu menjurus kepada pembendungan gejala rasuah," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Perangi Perasuah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Klang, Selangor hari ini.

Kempen berkenaan dilancarkan oleh Ketua Pengarah JKDM Paddy Abd Halim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media menyatakan Kementerian Kewangan akan menawarkan ganjaran sehingga RM30,000 kepada penjawat awam yang berani mendedahkan penyelewengan dalam kementerian masing-masing.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata bagaimanapun usaha memberikan ganjaran itu bukanlah perkara baharu kerana ia sebenarnya telah lama dilaksanakan oleh SPRM namun ia dilihat kurang mendapat sambutan daripada orang ramai termasuk penjawat awam.

Justeru katanya, SPRM akan menghidupkan semula inisiatif pemberian ganjaran itu supaya lebih banyak maklumat yang boleh dipercayai dapat disalurkan bagi membendung kegiatan rasuah masa kini.

- Bernama

Lihat Komen