malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Amanah beri amaran ahli perbesar isu teknikal pemilihan parti
ADS

Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir memberi amaran terhadap pihak yang cuba mencalar imej parti demi mendapat kedudukan dengan memperbesarkan isu masalah teknikal pendaftaran pemilihan yang dihadapi oleh Amanah.

Anuar berkata masalah teknikal yang dihadapi oleh parti itu merupakan masalah yang dihadapi oleh semua parti dan menurutnya dianggap kecil berbanding yang dihadapi oleh parti lain.

“Sebenarnya, perkara ini dihadapi oleh semua parti. Biasalah soal-soal teknikal. Cuma Amanah ni heboh sikit, tak tahu kenapa isu ini (diperbesarkan).

"Ada (parti lain hadapi masalah) yang lebih berat daripada yang dihadapi oleh Amanah - dalam isu teknikal pendaftaran ni.

“Tapi saya tak tahu kenapa banyak orang berminat sangat memperbesar-besarkan isu ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pada 22 Sept lalu, Malaysiakini melaporkan Amanah pusat mengarahkan sebanyak 655 cawangan dan 81 kawasan - termasuk sayap pemuda dan wanita - mengadakan mesyuarat tahunan dan pemilihan semula selepas mesyuarat sebelum ini tidak sah.

Difahamkan, isu itu berbangkit kerana kelemahan pengurusan Amanah di peringkat ibu pejabat yang tidak meneliti atau menyerahkan minit-minit mesyuarat daripada pelbagai peringkat parti kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Tak usahlah menjadikan sebarang sikap yang asalkan dapat kedudukan dalam parti, sanggup menyebabkan parti sendiri tercalar imejnya. Saya harap semua orang akan bekerjasama dengan baik,” kata Anuar lagi.

Diminta mengulas mengenai desakan penangguhan pemilihan jawatankuasa Amanah kawasan kali kedua, Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata beliau tidak dapat mengulas mengenai perkara itu kerana sebarang keputusan perlu datang dari pasukan jawatankuasa pengurusan parti.

Bagaimanapun, ahli parlimen Temerloh itu berkata, pihaknya ada mendengar mengenai memorandum berhubung perkara itu tetapi masih belum menerimanya lagi.

“Nanti pengurusan parti akan menerima permohonan, kita akan pertimbang, kita akan bincang, kita akan tengok kebaikan dan keburukan.

“Apa yang kita lakukan sekarang ini adalah untuk memastikan semuanya lancar dan semuanya mematuhi kehendak Akta Pertubuhan (1966) dan juga perlembagan parti sendiri,” katanya.

Semalam, dalam satu memorandum yang dilihat oleh Malaysiakini, menunjukkan Ketua Amanah Sepang Azlee Ismail mendesak pemilihan jawatankuasa Amanah kawasan kali kedua ditangguhkan sehingga status bagi 655 cawangan parti yang terluput sebelum ini dapat dipulihkan dan disahkan.

Menurut memorandum yang dikatakan akan dihantar ke pihak Amanah pada hari ini (4 Okt), dia mahu semua cawangan parti yang terluput itu diberi peluang yang adil dalam pemilihan kali kedua.

Lihat Komen