malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis marin rampas 274 liter arak buatan sendiri di Tok Bali
Diterbitkan:  Oct 4, 2019 1:12 PM
Dikemaskini: 5:12 AM
ADS

Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga merampas 274 liter cecair jernih disyaki arak buatan sendiri bernilai RM9,150 yang dipercayai diseludup dari Vietnam dalam satu serbuan di sebuah jeti di Tok Bali di Pasir Puteh, semalam.

Ketua Bahagian Operasi/ Risiknya, DSP Mohd Razlini Abd Manaf berkata cecair yang siap diproses dan diisi ke dalam lapan tong dan 23 botol bekas air mineral itu kemudian disorok di dalam lubang di bawah jeti awam yang sukar dikesan pihak berkuasa.

“Serbuan kira-kira 3 petang yang diketuai ASP Nik Ali Nik Mat itu dibuat selepas mendapat maklumat daripada orang awam dan hasil risikan pihak kami,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Tok Bali di Pasir Putih, hari ini.

Mohd Razlini berkata cecair berkenaan diadun daripada beras dan bahan kimia dipercayai diseludup masuk menerusi bot nelayan Vietnam yang beroperasi di Tok Bali bagi keperluan nelayan warganegara itu selain memenuhi permintaan nelayan tempatan.

Beliau berkata hasil rampasan itu dapat membendung aktiviti jenayah, sosial dan perjudian yang sering berlaku sebelum ini kesan penggunaan arak tiruan yang tidak terkawal.

“Polis sentiasa mempertingkatkan kawalan keselamatan di persisiran pantai dalam usaha menangani penyeludupan rentas sempadan berasaskan maklumat orang awam dan risikan, “ katanya.

-Bernama

Lihat Komen