malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Waytha puas hati keputusan inkues kematian Adib
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy menyambut baik keputusan Mahkamah Koroner berhubung inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Malah, Waytha berkata beliau berpuas hati dengan keputusan yang diputuskan mahkamah itu.

“Kita puas hati dengan keputusan tersebut dan kita terima keputusan tersebut kerana itu keputusan mahkamah,” katanya pada sidang media selepas program Penyatuan Rukun Negara, di Putrajaya, hari ini.

Pada Jumaat lalu, Koroner Rofiah Mohamad, memutuskan punca kematian anggota bomba itu adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali, selain kegagalan polis mengawal keadaan.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa.

Sementara itu, mengulas program Penghayatan Rukun Negara hari ini Waytha berkata kerajaan akan berbincang dengan pemilik pusat membeli belah utama bagi memohon kebenaran menggunakan premis tersebut sebagai lokasi penganjuran program itu.

Katanya, beberapa pemilik telah menyatakan kesediaan untuk premis mereka dijadikan lokasi acara yang disasarkan untuk diadakan dua kali sebulan itu.

"Kita dapati lebih 70 peratus masyarakat mengunjungi pusat membeli-belah pada hujung minggu dan ini platform terbaik untuk digunakan bagi mempromosi program penghayatan rukun negara kepada rakyat.

"Selain sektor korporat dan swasta lain, tumpuan untuk kita bekerjasama dalam mempromosi falsafah rukun negara adalah pusat membeli belah dan usaha mendapat kerjasama daripada pemilik premis itu sedang dilakukan," katanya.

Program bertujuan menyemai semangat menghayati rukun negara dalam kalangan masyarakat dan badan korporat itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) , iKHASAS Group dan Shaftsbury Putrajaya.

Waytha berkata ketika ini dua pusat membeli belah iaitu Alamanda dan Shaftbury di Putrajaya telah dipilih sebagai lokasi perintis pelaksanaan program itu yang telah pun dijalankan bulan lalu.

Kata Waytha sebagai tempat tumpuan masyarakat, pihaknya melalui JPNIN boleh merangka pelbagai program berkaitan rukun negara dengan melibatkan semua premis perniagaan di dalam pusat membeli belah tersebut.

"Kita mahu mengambil ruang dalam kehidupan masyarakat yang mungkin terleka mengenai kewujudan dan falsafah di sebalik rukun negara akibat kesibukan tugasan seharian.

"Apabila semua pihak bergabung melaksanakan program penghayatan rukun negara di dalam satu bangunan yang menjadi tumpuan umum, maka impaknya akan lebih terasa kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif iKHASAS Group Tengku Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj berkata selaku pemilik bangunan Shafbury, pihaknya menyambut baik cadangan tersebut dan sedia bekerjasama membantu kerajaan mempromosikan keharmonian, keamanan dan perpaduan kaum melalui program penghayatan rukun negara di premis milik syarikat itu.

“Kami tiada masalah membenarkan premis milik iKHASAS Group, iaitu Shafbury Putrajaya dan Shafbury Cyberjaya dijadikan lokasi ikonik bagi penganjuran program penghayatan rukun negara di masa depan," katanya.

Lihat Komen