malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kekalahan lalu jadi pengajaran, PH rangka strategi PRK Tanjung Piai esok
ADS

Pakatan Harapan (PH) akan membincangkan soal calon dan strategi bagi menghadapi PRK Tanjung Piai dalam satu mesyuarat di Muar esok.

Perkara itu diberitahu Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PH Muhyiddin Yassin yang akan mempengerusikan mesyuarat itu.

Muhyiddin berkata Bersatu akan bertanding dalam PRK kali ini - sama seperti PRU lalu - tetapi calonnya belum diputuskan.

Beliau yakin PH akan mengambil pengajaran daripada kekalahan dalam PRK - iaitu Rantau, Cameron Highlands dan Semenyih - bagi membuat persediaan kali ini.

"Kita ambil kira pengalaman lalu, di (PRK) Semenyih dan juga kerusi-kerusi yang ditandingi dulu. Kita dapat banyak maklum balas dan sudah buat post morterm.

"Untuk Tanjung Piai, kita akan mengatur strategi yang lebih berkesan dan gerak kerja yang lebih menyeluruh... menjelaskan isu-isu yang tidak difahami rakyat.

"Dalam tempoh beberapa bulan ini pelbagai perkara sudah berbangkit, sebahagiannya ditularkan di media sosial. Ada perkara tertentu sama ada soal dasar atau program PH yang mungkin tidak difahami. Kita akan jelaskan," katanya yang juga presiden Bersatu.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam di Putrajaya, hari ini.

PRK Tanjung Piai diadakan ekoran kematian penyandangnya Dr Mohd Fard Mohd Rafik pada 21 September lalu. Anggota Bersatu itu juga merupakan timbalan menteri di jabatan perdana menteri.

Pada PRU lalu, Farid menewaskan penyandang dari MCA Wee Jeck Seng dengan majoriti 524 undi dalam perlawanan tiga penjuru.

PRK kali ini akan menjadi ujian litmus buat kedua-dua PH dan kerjasama Umno-PAS di saat isu berkaitan kaum dan agama mendominasi landskap politik negara.

BN masih belum memutuskan calonnya tetapi akar umbi Umno dan MCA masing-masing menggesa untuk parti mereka bertanding.

Tanjung Piai adalah kerusi tradisi MCA.

 

Lihat Komen