malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K’jaan siasat kes lelaki Pakistan kahwin nenek warga Malaysia
ADS

Kerajaan akan mengkaji kes yang melibatkan seorang lelaki warga Pakistan berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun yang berkahwin dengan seorang warga emas, sekitar usia 60an, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Adalah dilaporkan sebelum ini, tindakan warga asing itu berbuat demikian adalah untuk mendapatkan pas lawatan sosial agar dapat menjalankan perniagaan dan menetap lebih lama di Sabah.

"Ia (pas lawatan sosial itu) tertakluk pada syarat syarat pas permit oleh warga asing itu.

"Dan kalaulah melanggar apa-apa syarat oleh Jabatan Imigresen Malaysia dia (kerajaan) akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita semasa perasmian Yayasan MyStemi di TPC Kuala Lumpur, hari ini.

Perasmian itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Rohaizat Yon dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyStemi Dr Rosli Mohd Ali.

Pada Selasa lalu, tular kes seorang lelaki warga Pakistan yang didakwa sanggup berkahwin dengan wanita berstatus ‘nenek’ semata-mata mahu mendapatkan pas lawatan sosial bagi suami asing kepada warga negara untuk menetap lebih lama di sini.

Memetik laporan Berita Harian, Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Musa Sulaiman berkata, beliau mengesyaki ada yang tidak kena dengan permohonan tersebut namun semakan mendapati dokumennya lengkap dan mengandungi rekod dari jabatan agama.

Musa juga dipetik sebagai berkata, perkahwinan dengan wanita tempatan memudahkan lelaki asing menggunakan nama isteri untuk memohon permit perniagaan terutamanya kedai-kedai runcit.

Beliau juga mengakui, perkahwinan yang melibatkan warga asing dengan penduduk tempatan semata-mata untuk mendapatkan permit perniagaan dan menetap di negara ini juga berlaku di seluruh dunia.

Berdasarkan perangkaan Jabatan Imigresen Sabah, sebanyak 299 pas lawatan sosial suami asing warga Pakistan kepada warga negara dikeluarkan antara Januari hingga Julai tahun ini, manakala enam kebenaran bekerja dikeluarkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen