malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak permohonan Umno Pekan tangguh saman lucut hak SPRM
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Umno Pekan untuk menangguhkan saman lucut hak berkaitan 1MDB, sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata tiada keadaan yang khas untuk memerlukan penangguhan diberi.

Beliau juga berkata kebimbangan pemohon berkenaan kemungkinan pihak ketiga tidak boleh memulangkan wang yang dituntutnya hanya berasaskan tanggapan.

Sebelum keputusan, timbalan pendakwa raya (DPP) Mazoah Mohaide berkata setakat ini belum ada pihak ketiga membuat tuntutan.

Sementara itu, beliau berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - sebagai sebahagian daripada kerajaan - akan dapat mengembalikan dana yang dilucut kepada Umno Pekan jika ia menang dalam rayuannya.

SPRM memohon untuk melucut hak sejumlah RM700,000 yang dikatakan berkaitan dengan 1MDB daripada Umno Pekan.

DPP Allan Suman Pillai berkata dengan hakim menolak permohonan penangguhan, peringkat seterusnya ialah pendengaran untuk tuntutan pihak ketiga yang ditetapkan pada 15 November ini.

Saman lucut hak itu ialah sebahagian daripada 41 permohonan oleh SPRM pada Jun lalu, untuk melucut hak wang berjumlah RM270 juta yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.

Lihat Komen