malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Husam: Laporan KPK menang saman tak gambarkan hakikat sebenar
ADS

Pengerusi PH Kelantan, Senator Husam Musa menjelaskan isu Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) yang menang saman terhadapnya seperti dilaporkan oleh Malaysiakini, semalam, tidak menggambarkan hakikat sebenarnya berlaku pada hari prosiding kes itu.

Kata Husam, beliau melantik Tetuan Zayumi Murtadza sebagai peguamcara yang baru untuk mengendalikan pembelaannya sebagai menggantikan peguam yang terdahulu.

"Peguam saya yang baru telah memohon penangguhan pendengaran perbicaraan mahkamah ke suatu tarikh lain untuk membolehkan beliau meneliti kes ini secara menyeluruh.

"Malangnya permohonan penangguhan ini telah tidak dapat dibenarkan. Antara lain kerana sudah ada ‘Unless Order’ yang diberikan kepada semua pihak sebelum ini dan oleh kerana itu mahkamah telah mengambil keputusan untuk membenarkan tuntutan plaintif iaitu KPK tanpa perbicaraan dijalankan," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan KPK berjaya dalam satu tuntutan saman ke atas Pengerusi PH Kelantan, Senator Husam Musa di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, 1 Oktober lalu.

Susulan itu, mahkamah memerintahkan Husam selaku defendan membayar ganti rugi am dan dan khas kepada KPK berhubung kenyataan yang disifatkan palsu dan jahat terhadap anak syarikat kerajaan Kelantan itu.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan KPK selaku plantif terhadap Husam.

Sebelum ini, KPK memfailkan saman berkenaan pada September 2017 selepas Husam didakwa membuat kenyataan tidak benar yang berunsur fitnah di Facebook dan melalui ucapan ceramahnya terhadap KPK.

Sementara itu Husam yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berkata, tuntutan pihak plaintif telah dibenarkan tanpa isu merit didengar terlebih dahulu dan ia telah diputuskan atas sebab-sebab teknikal perundangan.

"Dan Insya-Allah perkara ini boleh dibetulkan. Saya akan membuat rayuan di atas keputusan ini agar kes ini dipanggil semula dan perbicaraan dapat dijalankan serta isu-isu merit dapat diputuskan," jelasnya.

Lihat Komen