malaysiakini logo
story-image
ADS

Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) berjaya dalam satu tuntutan saman ke atas Pengerusi PH Kelantan, Senator Husam Musa di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, semalam.

Susulan itu, mahkamah memerintahkan Husam selaku defendan membayar ganti rugi am dan dan khas kepada KPK berhubung kenyataan yang disifatkan palsu dan jahat terhadap anak syarikat kerajaan Kelantan itu.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan KPK selaku plantif terhadap Husam.

Bagaimanapun jumlah ganti rugi am dan khas akan didengar di depan pendaftar mahkamah pada 29 Oktober ini.

Dalam prosiding tersebut Husam turut diperintahkan supaya membuat permohonan maaf melalui akhbar harian bahasa Melayu selama sehari tanpa syarat, manakala terma permohonan itu ditentukan plaintif.

Plantif diwakili Wan Muhammad Hafiz Wan Zawawi dan Aimi Shazwani Yaakob dari Tetuan Afifah, Wan dan Aimi Shazwani manakala Husam diwakili Tetuan Zayumi Murtadza.

Terdahulu, KPK memfailkan saman berkenaan pada September 2017 selepas Husam didakwa membuat kenyataan tidak benar yang berunsur fitnah di Facebook dan melalui ucapan ceramahnya terhadap KPK.

Berdasarkan fakta kes defendan antaranya memberi gambaran kepada masyarakat kononnya syarikat KPK mengalami kerugian sehingga ditutup selain menyatakan syarikat itu bertindak zalim dengan memberhentikan pekerja hanya untuk mendapatkan keuntungan.

Selain itu, Husam turut menyatakan KPK melakukan pelbagai penyelewengan termasuklah menjalankan penebangan hutan tidak terancang dan memberikan kawasan baru untuk menjalankan tanaman pokok Eucalyptus kepada sebuah syarikat yang mana terdapat pihak berkaitan dalam syarikat itu dikatakan masih mempunyai tunggakan hutang dengan KPK.

Husam juga dengan niat dan secara sengaja membuat satu kenyataan dengan merujuk kepada satu keputusan mahkamah terhadap Orang Asli di Gua Musang yang memberikan gambaran kononnya KPK bertindak kejam dan zalim dengan melanggar dan tidak mementingkan kepentingan sosial dan hak rakyat khususnya Orang Asli di Kelantan, sedangkan kes itu sama sekali bukanlah konsesi KPK.


Lihat Komen