malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis: Belum ada petunjuk jelas kaitkan suspek kematian Adib
ADS

Polis berkata setakat ini belum ada petunjuk jelas untuk mengaitkan empat individu yang disiasat dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya tahun lalu dengan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata, oleh sebab itu, tidak timbul isu suspek melarikan diri seperti yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak.

“Ada ramai yang bertanya tentang empat orang ini. Sebenarnya tangkapan bukan empat orang sahaja, ada 12 orang ditahan untuk bantu siasatan, dan mereka semua dibebaskan dengan jaminan polis.

“Saya tak nampak isu mereka nak melarikan diri dan sebagainya. Sebab kita telah jalankan siasatan dan siasatan tersebut menunjukkan bahawa tak ada petunjuk jelas untuk mengaitkan mereka 12 orang ini dengan kejadian yang berlaku pada hari berkenaan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Umno, Noh Omar mempersoalkan mengenai keberadaan empat suspek yang ditahan berhubung kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Pada sidang parlimen yang lalu, saya telah meminta Menteri Dalam Negeri (Muhyiddin Yassin) menjawab di manakah empat orang suspek tersebut. Adakah masih berada dalam negara ataupun tidak. Namun sayangnya soalan saya ini tidak terpilih dan hanya dijawab secara bertulis.

“Saya sememang tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan kerana saya telah meramalkan kes ini akhirnya akan terbukti wujud unsur jenayah dan ternyata ramalan saya tepat.

“Persoalan sekarang ini adalah jika pihak polis mahu memanggil empat orang suspek tersebut, adakah mereka masih berada dalam negara?” katanya yang dipetik oleh portal Umno-Online.

Tanpa merujuk Noh secara langsung, Mior meminta semua pihak berhenti mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Sebab kita telah jelaskan yang kita meneruskan siasatan. Apabila kita selesai siasat, kita akan kemukakan kertas siasatan pada Peguam Negara untuk arahan lanjut.

“Kalau ada keterangan-keterangan lain yang menyokong, kita akan panggil mereka (12 suspek) semula,” jelasnya lagi.

Minggu lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Adib akibat daripada perbuatan jenayah oleh dua hingga tiga individu dalam insiden rusuhan berhampiran kuil berkenaan, November lalu.

Akibat kecederaan yang dialaminya, Adib, 24, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember.

Koroner Rofiah Mohamad turut menyebut kegagalan polis untuk bertindak pantas pada masa kejadian sebagai faktor yang menyebabkan kematian Adib.

Peguam Negara Tommy Thomas pada 30 September berjanji akan meneruskan prosedur undang-undang berhubung kematian Adib secara profesional sebagai menerima kertas siasatan.

Tambahnya, pihak polis harus diberikan masa dan ruang untuk menjalankan siasatan mereka.

Lihat Komen