malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tak bayar royalti Kelantan, PH tiada beza dengan BN'
ADS

Nasib rakyat Kelantan disifatkan sama sahaja seperti era pemerintahan kerajaan BN apabila kerajaan PH sehingga kini gagal melunaskan janji untuk membayar royalti petroleum.

Presiden Royalti, Nazri Deraman berkata, pembayaran itu tidak berlaku walaupun janji untuk membayar royalti petroleum kepada Kelantan dibuat sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan dimaktubkan dalam menifesto PH.

"Sebaik sahaja PH membentuk kerajaan di peringatan persekutuan, pelbagai kenyataan media dibuat oleh ramai pimpinan yang menyatakan kesediaan untuk menjelaskan bayaran royalti, namun sehingga kini setelah memerintah hampir dua tahun, janji tersebut masih tinggal janji kosong yang tidak pernah ditunaikan.

"Pada peringkat awal peralihan kuasa dan pembentukan kerajaan, kami meletakkan harapan yang cukup tinggi akan diberikan sedikit keadilan untuk rakyak Kelantan.

"Pelbagai alasan teknikal yang sebenarnya alasan politik digunakan untuk menghalalkan kezaliman dan penafian tersebut," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Nazri berkata, semua langkah telah diambil kerajaan Kelantan seperti mengadakan rundingan, pertemuan termasuk membatalkan saman terhadap Petronas dan Kerajaan Persekutuan sebagai mana permintaan yang berupa syarat wajib diikuti kerajaan negeri supaya rakyat Kelantan mendapat haknya.

Malah katanya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali pernah mrnegaskan pembayaran royalti kepada Kelantan akan dibuat selepas selesai prosiding penarikan balik saman terhadap Petroleum dan kerajaan pusat.

"Kemudian pada 18 September lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah menyatakan bahawa kerajaan persekutuan masih tidak membuat sebarang keputusan berhubung pembayaran royalti petroleum untuk Kelantan.

"Seluruh rakyat Kelantan sentiasa mengikuti perkembangan isu ini secara dekat. Kami mempersoalkan apakah sebenarnya yang berlaku?

"Perdana menteri dan menteri hal ehwal ekonomi beberapa kali memberikan jaminan akan menjelaskan bayaran Royalti? Kemudian Kementerian Kewangan pula seakan-akan membuat kenyataan sebaliknya.

"Rakyat Kelantan menuntut jawapan yang pasti apakah hasil kajian Jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan?" soalnya.

Justeru tegasnya, rakyat Kelantan menyeru agar kerajaan persekutuan tidak lagi mengeluarkan pelbagai kenyataan yang mengelirukan, tetapi amat berharap agar perjanjian Royalti (9 Mei 1975) ditunaikan dan Peruntukan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dihormati dengan menjelaskan bayaran royalti demi kebaikan seluruh rakyat Kelantan.

"Nampaknya kerajaan PH seakan penerus kezaliman dan penafian terhadap rakyat Kelantan, tindakan tersebut berkemungkinan besar akan menyebabkan rakyat Kelantan bangkit kembali sekali lagi untuk memperjuangkan hak mereka.

"Sebelum ini kami berada di dalam mood tunggu dan lihat dalam tempoh hampir dua tahun bagi memberikan peluang kepada kerajaan persekutuan menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan pembayaran royalti ini.

"Kami tidak pernah gentar untuk terus memperjuangkan hak kami yang lebih 44 tahun dinafikan," kata Nazri.

Lihat Komen