malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
NGO gesa Kementerian Pendidikan didik diri hormati semua agama
Diterbitkan:  Oct 2, 2019 9:22 AM
Dikemaskini: 3:19 AM
ADS

NGO Pusat Komas menggesa Kementerian Pendidikan mendidik diri dalam menghormati dan menghargai semua agama dan kepercayaan.

Kenyataan itu hadir selepas kementerian berkenaan mengeluarkan amaran yang dikeluarkan kepada Sekolah Kebangsaan Methodist Perempuan (MGS) di Pulau Pinang kerana didakwa membacakan doa Kristian semasa majlis pemberian anugerah.

"Kami berharap Kementerian Pendidikan akan mendidik diri mereka sendiri dan membenarkan sekolah mengajar untuk menghormati dan menghayati semua agama dan kepercayaan, hanya setelah itu pendidikan di Malaysia akan menjadi bermakna untuk generasi akan datang.

"Pusat Komas menggesa kementerian untuk menumpukan perhatian serius dalam merombak dan mengasah sistem pendidikan menjadi arena di mana perpaduan ditekankan dan dibina setaraf dengan kecemerlangan akademik," kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

NGO berkenaan turut merasakan bahawa Kementerian Pendidikan mengabaikan Perlembagaan Persekutuan ketika ia "membuli" sekolah melalui amaran yang "tidak perlu".

Mereka memetik Perkara 11 perlembagaan yang menyatakan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk mengaku dan mengamalkan agamanya.

Ini bermakna bahawa amalan keagamaan yang berbeza dibenarkan, dijamin dan dilindungi oleh perlembagaan, justeru, katanya sebarang dakwaan bahawa bacaan doa adalah percubaan menukar agama orang lain adalah pandangan cetek.

"Orang Malaysia yang telah belajar di sekolah kebangsaan atau menghadiri upacara rasmi pernah menyaksikan bacaan doa agama Islam.

"Bagaimanapun, ia tidak dilihat sebagai helah yang halus untuk mengubah agama orang lain kepada agama Islam.

"Sekali lagi, ia mengingatkan kita hak-hak awam untuk mengamalkan kepercayaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, walaupun kita bersetuju dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini," kata Pusat Komas.

Mereka juga menyatakan bahawa Akta Pendidikan tidak menyebut apa-apa tentang larangan membaca doa kepercayaan lain, selain Islam.

"Yang menimbulkan persoalan, apa alasan untuk amaran tegas ini?" kata kenyataan itu.

Lihat Komen