malaysiakini logo
story-image
ADS

KES 1MDB NAJIB l Bekas ketua eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengakui dia diajar oleh tokoh perniagaan yang menjadi buruan, iaitu Low Taek Jho, atau Jho Low yang juga mengatur agar dirinya berjumpa dengan beberapa pemimpin BN yang menganggotai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum disoal oleh panel itu pada 2010.

Antara pemimpin BN yang juga adalah ahli PAC yang ditemuinya, adalah Ahli Parlimen Kota Belud Abdul Rahman Dahlan, kata Shahrol kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini semasa perbicaraan 1MDB membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

"Saya juga diberikan ‘talking points’ oleh Jho berhubung maklumat yang akan diliputi semasa mesyuarat PAC.

"Beliau juga telah mengatur supaya saya berjumpa dengan beberapa anggota BN PAC sebelum mesyuarat sebenar.

"Saya berjumpa dengan Rahman Dahlan, yang adalah ahli jawatankuasa ketika itu dan kami berbincang mengenai jenis soalan yang akan ditanya oleh PAC," katanya dalam pemeriksaan utama oleh ketua pendakwaan Gopal Sri Ram.

Gopal kemudian menyoal sama ada soalan yang dibincangkan dengan Rahman sebenarnya ditanya semasa dia berdepan PAC. Shahrol menjawab: "Lebih kurang, ya".

Ketika ditanya mengapa beliau diberi taklimat sebelum mesyuarat PAC itu, Shahrol berkata matlamatnya adalah meremehkan peranan Najib dan Low dalam 1MDB.

"Nombor satu, adalah untuk meremehkan Najib dan penglibatan Jho Low dalam membuat keputusan di SRC International dan 1MDB.

"Dan nombor dua, adalah (untuk mengatakan) semua ini adalah serangan politik terhadap perdana menteri," katanya.

Hasan Arifin, bekas pengerusi PAC

Abdul Rahman dilantik sebagai menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan pada tahun 2013.

Shahrol berkata beliau diasak sekali lagi oleh PAC pada tahun 2015 apabila isu 1MDB meletus dan taklimat turut diberikan kepadanya, kali ini oleh pengerusi PAC Hasan Ariffin, yang adalah ahli parlimen Rompin.

"Mesyuarat sebelum pendengaran PAC tersebut adalah untuk mempersiapkan soalan-soalan yang akan dikemukakan dan untuk membincangkan apa yang akan terkandung dalam laporan itu," katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Lihat Komen