malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR sokong calon Bersatu di Tg Piai
Diterbitkan:  Sep 29, 2019 10:59 PM
Dikemaskini: 5:38 PM
ADS

PKR menyokong Bersatu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang bakal berlangsung.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata demikian selepas kepimpinan pusat parti itu mengadakan mesyuarat bulanannya hari ini.

"PKR akan menyokong sepenuhnya calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

"PKR akan mengerahkan seluruh jentera pilihan raya parti untuk turun membantu Bersatu dan Pakatan Harapan mengekalkan kemenangan di kerusi Tanjung Piai," katanya dalam suatu kenyataan malam ini.

Fahmi berkata Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR juga membuat resolusi untuk memperkuat usaha PH mempertahan Perlembagaan Persekutuan, khususnya kedudukan Bahasa Malaysia dan Islam.

"PKR akan sentiasa berusaha untuk mengukuhkan semangat perjuangan Pakatan Harapan yang mempertahan Perlembagaan Persekutuan, terutama dalam isu kedudukan Bahasa Melayu dan agama Islam.

"Parti juga akan sentiasa mempertahan prinsip keadilan rakyat terutama dalam merangka dasar-dasar.

"PKR menegaskan bahawa semua pihak perlu mengelak dari menggunakan alasan agama dan kaum terutama untuk mengalih pandangan umum dari isu ekonomi dan agenda rakyat," jelasnya lagi.

Anggota Parlimen Tanjung Piai, 43, Dr Md Farik Md Rafik meninggal dunia pada 21 September lalu.

Beliau yang juga timbalan menteri di JPM memenangi kerusi Tanjung Piai dengan majoriti tipis 524 undi melibatkan pertandingan tiga penjuru dengan MCA dan PAS pada PRU14.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat pada Selasa depan untuk memutuskan tarikh pilihan raya kecil itu.

 

Lihat Komen