malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
JPN lapor polis dakwaan '200,000 kewarganegaraan baru'
Diterbitkan:  Sep 29, 2019 4:51 PM
Dikemaskini: 8:51 AM
ADS

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan pemilik akaun Twitter dan Facebook "Tengku Raja Alam Shah" berkenaan artikel "200,000 Penerima Sijil Kewarganegaraan Baharu Berikrar Sedia Membalas Budi Kerajaan".

Ketua pengarahnya Ruslin Jusoh berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada 11 pagi tadi, bagi membolehkan polis membuat siasatan menyeluruh mengenai dakwaan itu berikutan maklumat dikemukakan adalah tidak benar.

Bercakap kepada media selepas selesai membuat laporan, Ruslin berkata jumlah individu yang dinyatakan dalam dakwaan itu adalah satu fitnah dan tohmahan yang tidak munasabah kerana proses mendapatkan taraf kewarganegaraan amat rumit serta memerlukan penelitian dan prosedur yang ketat daripada pelbagai aspek.

"Dengan laporan ini, saya berharap pihak polis akan melakukan siasatan terperinci terhadap pemilik akaun Twitter dan Facebook berkenaan.

"Kami juga nak pastikan akaun itu palsu atau sebaliknya. Jika benar (akaun betul) kami minta pemilik akaun itu datang ke JPN dan hantar bukti mengenai dakwaan yang dibuat," katanya.

Ruslin Jusoh (tengah)

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga telah mengeluarkan kenyataannya semalam bagi menafikan dakwaan tersebut.

"JPN juga memandang serius dakwaan itu kerana kami tidak pernah mengeluarkan 200,000 sijil warganegara baru," katanya.

Semalam, KDN dalam kenyataannya menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa kerajaan PH telah memberikan kewarganegaraan baru kepada 200,000 penerima.

Kementerian itu berkata, dakwaan yang ditular pemilik akaun Twitter "Tengku Raja Alam Shah" itu tidak benar kerana sejak mengambil alih kerajaan pada Mei tahun lepas, hanya kira-kira 4,000 kewarganegaraan diberikan kepada penerima yang layak.

Untuk rekod, bagi tempoh Mei 2018 sehingga 15 Sept lalu sebanyak 19,788 permohonan taraf kewarganegaraan telah diterima oleh JPN dan daripada jumlah tersebut hanya 4,422 sahaja yang telah diluluskan bagi mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia.

Menurut Ruslin, pihaknya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) esok berhubung dakwaan berkenaan bagi membolehkan suruhanjaya itu membuat siasatan serta mengambil tindakan sepatutnya.

"Kami memandang serius perkara ini supaya pihak awam tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara sebegini, dakwaan berkenaan juga telah menyebabkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap JPN," katanya.

-Bernama

Lihat Komen