malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tunjuk laporan penuh siasatan kes Kuala Koh, dakwaan ubat perancang keluarga'
ADS

Jawapan Kementerian Kesihatan terhadap dua isu berkaitan masyarakat Orang Asli mutakhir ini mengundang kekecewaan sejumlah pakar, yang menggesa pihak berkuasa mengeluarkan laporan yang lebih terperinci.

Ia merujuk pengumuman Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkenaan dapatan dua jawatankuasa siasatan dalaman Rabu lalu.

Jawatankuasa pertama untuk menentukan punca kematian 16 Orang Asli di Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala yang kedua berkenaan dakwaan wanita Orang Asli dipaksa dan diperdaya untuk mengambil ubat perancang kehamilan.

Dalam sidang media itu, Dzulkefly berkata punca kematian orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang adalah akibat wabak demam campak. Ia mengesahkan laporan awal.

"Daripada 16 kematian, empat disahkan demam campak, lapan kematian mempunyai kaitan epidemiologi dengan wabak demam campak, manakala empat kematian lagi tidak dapat ditentukan punca kematian kerana tahap pereputan yang teruk," katanya.

Beliau juga menolak kajian bebas yang mendakwa bekalan air di Kuala Koh tercemar, dengan berkata, "Hasil pemeriksaan mendapati sumber air minum Orang Asli - iaitu air tandak, air sungai dan air telaga - mematuhi nilai piawaian kualiti air mentah untuk minuman dan bebas racun makhluk perosak, namun sumber air minum tersebut tercemar dengan beberapa bakteria patogenik".

"Analisis mikrobiologi ke atas sampel tanah kubur dan sekitar tempat tinggal satu kes kematian adalah negatif untuk dua bakteria patogenik yang diuji (meliodosis dan leptospirosis)," katanya.

Beliau juga menafikan laporan media yang mendakwa wanita Orang Asli di Hulu Perak tahu akan tujuan program perancang keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

'Dapatan tunjuk sikap defensif'

Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) Colin Nicholas menyuarakan kekecewaannya dengan pengumuman itu dan berkata setiap hujah dan dapatan kementerian boleh dicabar.

"Kekecewaan terbesar ialah pentadbiran nampaknya melihat dua isu (kematian di Kuala Koh dan dakwaan pengambilan ubat perancang) sebagai satu, di mana mereka perlu menolak apa-apa kesalahan yang diletakkan kepada kerajaan," katanya kepada Malaysiakini.

Colin Nicholas

Katanya, sikap defensif seperti itu punca kemajuan jangka panjang dalam isu serius sukar dicapai.

"Sukar untuk bekerjasama dengan kerajaan yang berfikir dengan cara ini," katanya, sambil menambah kerajaan sepatutnya "mahu mencari punca sebenar berkenaan situasi untuk menyelesaikannya secara menyeluruh".

Beliau turut mempersoalkan jika kedudukan Orang Asli yang terpencil dengan sumber terhad menyebabkan lebih mudah untuk mengenepikan rungutan mereka.

Dzulkefly berkata antara faktor menyumbang kepada wabak campak adalah tahap imunisasi dan nutrisi yang rendah di kalangan kanak-kanaknya.

Katanya lagi, cara hidup mereka yang sering berpindah dan memasuki hutan akibat sakit atau kematian yang menyumbang kepada kelewatan mendapatkan rawatan sehingga jangkitan terus berlaku.

Nicholas bagaimanapun mempersoalkan penjelasan itu dan berkata jika kejadian serupa terjadi kepada kaum lain, pasti akan ada seruan agar suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk menyiasatnya.

Pakar perubatan nak tengok laporan

Anggota Majlis Perubatan Malaysia (MMC) Dr Milton Lum juga megkritik kaedah Kementerian Kesihatan itu.

"Perlu diketahui yang menteri kesihatan mengeluarkan kenyataan media tetapi laporan penuh siasatan dalaman tidak didedahkan.

"Tiada siasatan bebas atau luar - kelemahan yang memberi kesan kepada kewibawaan siasatan (kementerian)," katanya yang juga bekas presiden Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM).

Orang Asli Bateq di Kuala Koh

Katanya, kenyataan media itu antara lain tidak menyatakan tentang sebab pemilihan kaedah kes-kawalan, kaedah pemilihan wanita dari dua kampung yang disenaraikan sebagai kes dan kawalan, perbezaan bilangan kes (lapan) dan kawalan (20) dan bilangan wanita yang faham objektif rancangan kehamilan.

"Pendekatan dalam siasatan membangkitkan persoalan berkenaan kesahan dapatan dalam kenyataan media menteri. Menteri perlu menunjukkan laporan penuh," katanya lagi.

Lum juga mempersoalkan mengapa siasatan berkenaan perkara itu dibuat di Perak, sedangkan turut ada laporan sama oleh wanita Orang Asli di Kelantan.

Beliau merujuk Nora Kantin, seorang suku Temiar dari Kampung Lambok, RPS Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan.

Pada 11 Julai, Nora memberitahu Malaysiakini bahawa kakitangan Kementerian Kesihatan yang datang ke perkampungan Orang Asli sering memaksa golongan wanita mengambil suntikan perancang kehamilan, terutama terhadap pasangan baru berkahwin dan mempunyai seorang anak.

"Suntikan itu memberikan kesan buruk kepada kesihatan kami. Ramai perempuan naik berat badan, daripada kurus menjadi gemuk dengan cepat. Kami semua merasa lemah selepas menerima suntikan itu," katanya ketika itu.

Malaysiakini juga sedang menghubungi Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Juli Edo untuk mengulas perkara ini.

Lihat Komen