malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Cari dalang pembunuh Adib, bukan sebar perkauman - Guan Eng
ADS

Keputusan mahkamah koroner bahawa kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim disebabkan perbuatan jenayah perlu dihormati semua pihak, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Semalam Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa Adib dipukul oleh dua atau tiga penyerang tidak dikenali selain polis gagal mengawal rusuhan yang berlaku di kuil Seafield, USJ25 Subang Jaya pada November tahun lalu.

Lim yang menyambut baik keputusan itu berkata, hantaran berbaur perkauman di media sosial perlu dihentikan sebelum merebak dan mewujudkan kebencian serta perpecahan di kalangan masyarakat berbilang kaum.

"Hormati keputusan itu dan bantu polis cari dalang di sebalik pembunuhan itu, dan bukannya mengirim kenyataan perkauman di media sosial.

"Keadilan mesti dilaksanakan dengan mencari dalang di sebalik kejadian ini," katanya selepas melancarkan tiga perkhidmatan baru di Mount Miriam Cancer Hospital di Pulau Pinang. 

Sementara itu Lim turut mengkritik tindakan mereka yang menyebarkan kejadian seorang lelaki ditembak mati oleh polis di Bayan Lepas selepas mengamuk dan membunuh penyelianya serta mencederakan yang lain.

Ketua Polis Negara Hamid Bador baru-baru ini memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan mengatakan penyerang berkenaan terpengaruh daripada video keganasan di Timur Tengah.

Bagaimana Naib Ketua Puteri Umno Kelantan Nurul Amal Mohd Fauzi menyifatkan kematian lelaki itu sebagai "syahid" kerana mempertahankan Nabi Muhammad daripada dihina.

Lim berkata kejadian itu tidak seharusnya dilihat dari sudut kaum dan agama.

"Isu-isu ini tidak berkaitan dengan kejadian itu sama sekali," katanya merujuk kepada suspek mengalami masalah kemurungan.

Lihat Komen