Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memberikan kewarganegaraan baru kepada 200,000 penerima.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata dakwaan yang ditular pemilik akaun Twitter "TengkuRajaAlamShah" itu tidak benar kerana sejak mengambil alih kerajaan pada Mei tahun lepas, hanya kira-kira 4,000 kewarganegaraan diberikan kepada penerima yang layak.
"Justeru KDN meminta pemilik akaun twitter tersebut agar tampil untuk membuktikan dakwaan beliau adalah sahih dan bukan tohmahan tidak berasas semata-mata.
"Untuk makluman bagi tempoh Mei 2018 sehingga 15 September 2019 sebanyak 19,788 permohonan taraf kewarganegaraan telah diterima oleh JPN dari pelbagai kaum dan bangsa dan dari jumlah tersebut hanya 4,422 sahaja yang telah diluluskan kewarganegaraan Malaysia," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, pemilik akaun berkenaan menularkan tulisan dari sebuah blog yang mendakwa seramai 200,000 penerima kewarganegaraan baru berikrar sedia untuk 'membalas budi' kerajaan PH.
Tulisan itu juga mendakwa sijil kewarganegaraan tersebut telah pun diproses sebelum pemberian kewarganegaraan diumumkan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin pada Julai lalu.
KDN bagaimanapun menegaskan hanya mereka yang memenuhi syarat-yang ditetapkan dan mengemukakan dokumen yang lengkap sahaja layak untuk memohon taraf kewarganegaraan.
"Pemberian taraf kewarganegaraan adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah perlembagaan persekutuan dan merupakan penganugerahan tertinggi oleh kerajaan Malaysia dan tidak diberikan sewenang-wenangnya.
"Orang ramai digesa untuk menghentikan penyebaran maklumat yang tidak benar bagi mengelakkan kekeliruan dan kebimbangan awam,' jelasnya.
KDN berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita tidak sahih dan palsu serta akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.