malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M sah rasmikan Kongres Maruah Melayu bulan depan
ADS

Dr Mahathir Mohamad sah akan merasmikan Kongres Maruah Melayu di Bukit Jalil awal bulan depan yang membincangkan masalah orang Melayu dalam pelbagai bidang.

“Ya, beliau (Mahathir) pergi," kata sumber dalaman Pejabat Perdana Menteri kepada Malaysiakini ketika diminta mengesahkan penyertaan perdana menteri.

Pusat Kecemerlangan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya sebagai penganjur acara juga ketika dihubungi mengesahkan Mahathir akan hadir dan menyampaikan “amanat”.

Pengarah pusat itu Hashim Ismail bagaimanapun berkata Mahathir akan hadir sebagai “bukan sebagai PM tapi sebagai pemimpin Melayu”.

Stadium Axiata Arena 

Acara itu akan diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 6 Oktober depan dan melibatkan kerjasama Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Stadium di Bandar Sukan Bukit Jalil itu mampu menampung 16,000 orang peserta.

Hashim sebelum ini dilaporkan memberitahu kongres itu akan membincangkan permasalahan orang Melayu melibatkan aspek pendidikan, agama, budaya, politik dan ekonomi.

“Kita lihat dari aspek perpaduan nasional, kesan pemerintahan hari ini kepada ekonomi negara, hak-hak Melayu yang kononnya hari ini tercabar, kita lihat semua ini dari perspektif akademik,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Free Malaysia Today.

Malay Mail melaporkan lima resolusi dijangka dikeluarkan, iaitu penyatuan satu sistem persekolahan demi integrasi kaum, mempertegaskan Islam sebagai agama persekutuan dan penjelasan berkaitan perwatakan kaum dan agama untuk calon perdana menteri.

Himpunan Penyatuan Ummah

Tidak lama selepas Himpunan Penyatuan Ummah melibatkan dua parti terbesar Melayu - Umno dan PAS - 14 September lalu, pemimpin Umno seperti anggota Majlis Tertingginya Dr Mohd Puad Zarkashi menyerang kongres itu.

Umno Online melaporkan beliau mendakwa kongres itu didukung oleh Bersatu demi kepentingan politik.

Puad mendakwa kongres itu dibuat sebagai timbal balas kepada Piagam Muafakat Nasional Umno dan PAS yang menghimpunkan 20,000 hadirin.

Bagaimanapun, di sebalik kritikan pembangkang, Hashim sebelum ini telah pun menegaskan

“Tafsiran politik ini saya tidak mahu campur”.

Bersatu satu-satunya parti mewakili orang Melayu dan bumiputera dalam Pakatan Harapan (PH). Dua lagi rakan penting gabungannya - PKR dan Amanah - adalah parti pelbagai kaum.

Amanah parti serpihan PAS, juga boleh dianggotai bukan Islam.

Kerajaan Mahathir baru mengambil alih pentadbiran buat kali pertama selepas pemerintah 60 tahun BN, kini sering diserang dalam isu-isu kaum dan agama oleh pemimpin pembangkang.


Laporan tambahan oleh Lu Wei Hoong.

Lihat Komen