malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tidak mudah Warisan terima Adun pembangkang
ADS

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Mohd Shafie Apdal, menegaskan partinya tidak sesuka hati menerima permohonan masuk wakil rakyat pembangkang, malah akan melakukan tapisan dengan teliti terlebih dahulu.

Beliau yang juga ​​​​​​​Ketua Menteri Sabah berkata, mana-mana wakil rakyat pembangkang yang memohon menyertai Warisan akan ditapis terlebih dulu dan mesti mendapat persetujuan barisan pemimpinan parti.

“Kita teliti dan bukan ambil-ambil, terima sahaja. Saya teliti secara mendalam dan buat keputusan bersama pimpinan Warisan," katanya pada sidang media selepas menerima borang permohonan Adun Labuk, Abdul Rahman Kongkawang, yang meninggalkan Parti Bersatu Sabah (PBS), untuk menyertai Warisan di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata partinya menerima Abdul Rahman dengan hati terbuka demi memperjuangkan kepentingan dan pembangunan Sabah secara keseluruhan.

Menurutnya, penyertaan Abdul Rahman adalah tanpa bersyarat sebaliknya secara ikhlas untuk bersama-sama kerajaan Sabah dalam membangunkan negeri tersebut.

Penyertaan Abdul Rahman itu menjadikan Warisan kini mempunyai 32 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang memiliki 60 kerusi secara keseluruhan.

Mengenai pencapaian sembilan wakil rakyat pembangkang yang telah menyertai Warisan sebelum ini, Mohd Shafie berkata beliau berpuas hati dengan keupayaan mereka memainkan peranan membantu masyarakat di peringkat akar umbi.

Katanya, kerajaan negeri memberikan bantuan yang sewajarnya bagi memastikan wakil rakyat terbabit berupaya membantu masyarakat di kawasan mereka.

- Bernama

Lihat Komen