malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Saya cuma doakan arwah’
Diterbitkan:  Sep 27, 2019 6:01 PM
Dikemaskini: 10:03 AM
ADS

Nurul Amal Mohd Fauzi menegaskan beliau tidak bermaksud membenarkan tindakan yang arwah Muhammad Khairil yang mengamuk dengan parang di Pulau Pinang baru-baru ini.

Sebaliknya, kata naib ketua Puteri Umno itu, ia doa semata-mata.

“Mana mungkin kita boleh bersetuju dengan tindakan yang menyanggahi Islam bahkan kemanusian serta perundangan walau dengan apa jua alasan pun,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Umno Online.

“Kenyataan semalam hanyalah semata-mata mendoakan arwah, dan menjadi satu amalan bagi umat Islam mendoakan umat Islam lain yang meninggal dunia, tidak lebih dari itu.”

Rabu lalu, Nurul Amal dalam ceramah di Kota Bharu, Kelantan menggelar Mohd Khairil, 25, yang mati ditembak polis di Bayan Lepas selepas mengamuk, sebagai “syuhada” dan “assyahid”.

"Kelmarin bersemadinya seorang syuhada, assyahid Sheikh Mohd Khairil yang ditembak disebabkan beliau mengamuk di hadapan dua orang kafir yang menghina junjungan besar Nabi Muhammad.

"Semoga Allah SWT mengurniakan syurga Firdaus buat arwah, sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah," katanya.

Dalam kejadian itu, Muhammad dilaporkan menetak mati seorang wanita 47 tahun.

Polis mengesahkan akan menyiasat ucapan itu. Bagaimanapun, setakat pagi tadi masih tiada laporan polis dibuat.

Nurul Amal juga berkata, Puteri Umno sentiasa menyokong sebarang usaha polis menangani penyebaran berita palsu yang boleh mencetuskan isu perkauman dan agama supaya negara ini kekal aman.

“Saya berharap supaya dihentikan semua kenyataan-kenyataan provokasi tentang isu ini lagi bagi mengelakkan diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab untuk mengeruhkan lagi suasana,” katanya.

Lihat Komen