malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anak Najib, Nizar pula jadi sasaran saman cukai RM13.1 juta
ADS

Seorang lagi anak bekas perdana menteri Najibl Razak, Mohamad Nizar, menjadi sasaran saman Putrajaya yang menuntut RM13.1 juta dalam bentuk cukai yang belum dibayar.

Ahli perniagaan berusia 41 tahun itu menyertai bapanya, Najib serta adik-beradiknya, Mohd Nazifuddin dan Nooryana Najwa dalam berdepan dengan tindakan undang-undang oleh kerajaan yang cuba mendapatkan semula cukai, masing-masing sebanyak RM1.69 bilion, RM37.6 juta dan RM10.3 juta.

Ini didedahkan dalam satu salinan writ saman dan kenyataan tuntutan yang dilihat oleh Malaysiakini hari ini.

Saman cukai terhadap Nizar itu difailkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) bagi pihak kerajaan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Julai lalu.

Pada tarikh yang sama, saman cukai juga difailkan terhadap Nazifuddin dan Nooryana. Tindakan undang-undang terhadap Najib difailkan pada 25 Jun.

Nizar dituduh gagal membayar RM764,228.07, RM1,624,985.74, RM1,592,904.17, RM530,066.52, RM1,215,490.78, RM1,908,897.91, dan RM3,757,212.10, sebagai penilaian cukai tambahan bagi tahun 2011, 2012, 2013, 2014 , 2015, 2016, dan 2017.

Dia dikenakan denda 10 peratus daripada jumlah itu atas kegagalannya membayar balik cukai berkenaan dalam tempoh 30 hari setelah notis penilaian disampaikan di alamat terakhirnya di No 38, Jalan 4M, Ampang Jaya, Ampang, Selangor, pada 22 Mac tahun ini.

Atas kegagalan membayar dalam tempoh 60 hari, Nizar dikenakan denda sebanyak lima peratus lagi, menjadikan jumlah cukai yang terhutang kepada RM13,159,821.94

Kerajaan, yang adalah plaintif dalam kes itu, juga memohon faedah tahunan sebanyak lima peratus ke atas jumlah berkenaan, bermula dari tarikh penghakiman hingga tarikh penyelesaian, serta kos dan sebarang bayaran lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Menurut laman web ecourtservices.kehakiman.gov.my, perkara itu timbul untuk pengurusan kes sebelum timbalan pendaftar A Karthiyayini di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada jam 9 pagi ini.

Nizar diwakili oleh firma guaman Messrs Shafee & Co.

[Baca berita asal]

Lihat Komen