malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ketika Umno anggap syahid, PAS serah pada pihak berautoriti
Diterbitkan:  Sep 27, 2019 12:03 PM
Dikemaskini: 4:16 AM
ADS

PAS melahirkan kebimbangan sekiranya provokasi berhubung kematian pekerja kilang dalam kejadian amuk di Bayan Lepas jika tidak dibendung boleh mengundang kepada konflik perkauman yang lebih kritikal, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS itu menggesa semua pihak memelihara keharmonian negara dan tidak mengambil tindakan melangkaui undang-undang dalam menghadapi provokasi isu agama dan kaum.

Beliau meminta orang ramai supaya bersabar dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

"Tular pelbagai versi maklumat di media sosial mengenai insiden tersebut sehingga ramai orang membuat pelbagai kesimpulan tertentu.

"PAS juga meminta rakyat supaya serahkan kepada pihak yang lebih berautoriti untuk menentukan status syahid. Rakyat awam tidak mempunyai kedudukan sah untuk menentukannya.

"Sekiranya hal ini tidak dibendung dengan segera, PAS bimbang rakyat akan terus mengapi-apikan isu ini sehingga boleh mencetuskan konflik perkauman yang lebih kritikal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Naib Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi dalam ceramah di Kubang Kerian, Kota Bharu semalam menyifatkan penyerang yang ditembak mati selepas mengamuk di Pulau Pinang sebagai syahid.

Nurul Amal Mohd Fauzi 

Insiden amukan berlaku 23 September lalu apabila penyelia bahagian kawalan kualiti maut manakala seorang pengurus keselamatan parah selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang dalam satu kejadian di sebuah kilang di Bayan Baru.

Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, lelaki berusia 25 tahun itu dikatakan menyerang kedua-dua mangsa sebelum dia ditembak mati sepasukan polis yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, suspek yang juga pekerja di kilang berkenaan dikatakan seminggu tidak hadir bekerja dan pihaknya dimaklumkan lelaki itu telah menghantar surat peletakan jawatan yang berkuat kuasa penghujung September ini.

Pagi tadi, Bukit Aman memaklumkan pihak Polis telah menahan tiga lelaki yang memuat naik kenyataan berbaur perkauman di media sosial berhubung kematian seorang lelaki Melayu dalam kejadian amuk di sebuah kilang di Bayan Baru, Pulau Pinang pada 23 September lalu.

Timbalan Pengarah Forensik/Databank/ DNA/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan masing-masing ditahan di Pulau Pinang dan Kedah.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka ditahan pada 26 September selepas laporan polis dibuat pada 25 September dan kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi permohonan reman.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, Malaysia mempunyai peruntukan perundangan untuk mengatasi isu ini dan ia wajib dipatuhi oleh semua pihak.

"Sikap cabar mencabar, memprovokasi dan balas dendam akan mengeruhkan situasi.

"Hentikan sebar sebarang spekulasi yang akan menjurus kepada andaian yang tidak tepat," katanya.

Lihat Komen