malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Saya mungkin ada lagi tiga tahun paling lama, kata Mahathir
Diterbitkan:  Sep 27, 2019 11:45 AM
Dikemaskini: 3:45 AM
ADS

Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak mempunyai banyak masa untuk menyelesaikan banyak perkara.

Bercakap pada sesi dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di New York, semalam, Dr Mahathir menegaskan beliau akan melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

“Saya bekerja 18 jam sehari kerana saya tidak mempunyai banyak masa.

“Saya janji akan berundur sebelum PRU akan datang dan memberi laluan kepada calon lain. Jadi, saya mungkin ada lagi tiga tahun paling lama.

“Dalam tempoh tiga tahun itu, saya perlu menyelesaikan banyak perkara,” katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.

Mandat kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi PRU-14 pada 9 Mei tahun lalu akan berlarutan hingga 2023, sekali gus menyaksikan PRU-15 bakal diadakan pada atau sebelum itu.

Mengikut konsensus PH sebelum PRU14, Dr Mahathir akan dilantik sebagai perdana menteri dan kemudiannya menyerahkan teraju kepimpinan negara kepada Anwar. Namun tiada tempoh masa khusus dinyatakan.

Dr Mahathir sebelum ini juga pernah menyatakan bahawa beliau akan berundur selepas dua tahun memegang jawatan perdana menteri.

Portal itu turut melaporkan Dr Mahathir sebagai berkata, beliau tidak pasti jika penggantinya boleh melakukan dengan baik dan mengungkit kekecewaan terhadap penggantinya ketika berundur pada 2003.

“Saya tidak boleh menjamin orang yang menggantikan saya akan melakukan dengan baik, atau mungkin tidak terlalu baik.

“Saya tidak boleh jamin, tetapi kita boleh melaksanakan jentera yang betul.

“Jika anda bekerja mengikut sistem itu, saya fikir kita boleh mencapai matlamat status negara maju menjelang 2030,” katanya.

Beberapa minggu lalu, dalam temubual bersama Bloomberg, Anwar berkata beliau menjangka akan menyandang jawatan perdana menteri sebelum 2020.

Presiden PKR itu turut menjelaskan tiada tanda mana-mana parti yang memperkenalkan, mempromosikan atau melobi orang lain untuk jawatan itu.

Polemik itu terjadi susulan Dr Mahathir dikatakan memilih Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali sebagai pilihan kedua untuk menggantikannya.

Bagaimanapun, Azmin yang terpalit dakwaan isu video seks menyukarkan rancangan tersebut.

Azmin yakin video berkenaan merupakan kerja orang dalam PKR yang mahu merosakkan kerjaya politiknya dan polis turut mendakwa seorang pemimpin parti politik menjadi dalang di sebalik video itu.

Polis masih menyiasat perkara ini namun Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mendakwa proses pengenalan wajah gagal mengaitkan Azmin dengan video itu.

Anwar berulang kali menafikan terlibat dalam video seks itu walaupun setiausaha politiknya antara yang ditahan dalam hubungannya dengan kes berkenaan.

Lihat Komen