malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiada kompromi terhadap penyebar kebencian, kata Azis Jamman
ADS

WAWANCARA | Kerajaan tidak akan berkompromi atau ragu-ragu mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan kebencian dengan tujuan untuk menimbulkan keresahan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman berkata ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap beberapa insiden yang berlaku dalam negara dengan tujuan untuk meniup "api kebencian" antara kaum dan agama.

"Kita tidak akan kompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kebencian antara kaum dan agama di negara ini.

"Tindakan tegas akan diambil, jangan sebar berita-berita yang bertujuan mengeruhkan hubungan harmoni antara kaum yang telah terbina sejak sekian lama.

"Misalnya, isu pergaduhan seorang lelaki berbangsa Melayu dan lelaki Cina di sebuah plaza tol baru-baru ini, terus dijadikan isu perkauman di media sosial, pada hal ia hanya pergaduhan biasa kerana sikap mereka," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Pada 20 Sept lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda maksimum RM1,000.

Majistret Noorasyikin Sahat menjatuhkan hukuman itu terhadap seorang pengurus teknologi maklumat, Ng Whye Hoong, 38, dan peniaga, Mohamad Fazrien Mohd Ziear, 30, selepas mereka mengaku bersalah bergaduh di tempat awam.

Mereka melakukan kesalahan itu di Plaza Tol Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 4.30 petang, 17 Sept lepas mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Noorasyikin menasihati kedua-dua tertuduh supaya bersabar dan berasa malu dengan kejadian itu.

Jual MyKad jenayah berat

Dalam pada itu, Mohd Azis berkata kerajaan sentiasa memantau anasir-anasir yang cuba menggugat keharmonian negara.

Oleh itu beliau meminta orang ramai khususnya pengguna media sosial mendapatkan kesahihan berhubung sebarang berita yang tersebar di laman sosial.

"Pihak berkuasa sentiasa mematau dan saya minta orang ramai juga supaya tidak terpengaruh dan mendapatkan kesahihan terhadap sebarang maklumat yang tular.

"Kita memandang serius isu sensitif yang membabitkan soal kaum dan agama," katanya.

Mengulas mengenai isu penjualan kad pengenalan, Mohd Azis memberi jaminan kerajaan khususnya pihak berkuasa akan melakukan siasatan secara menyeluruh dan tindakan tegas akan diambil terhadap dalang yang terbabit.

Katanya, isu penjualan kad pengenalan (Mykad) adalah satu jenayah berat yang dipandang serius kerajaan kerana ia membabitkan kedaulatan negara.

"Kerajaan amat kesal dengan perbuatan jenayah ini, apatah lagi ia dilakukan oleh rakyat kita sendiri yang sanggup menggadai kedaulatan negara demi meraih keuntungan.

"Ini soal kedaulatan negara, semestinya kita memberi perhatian serius dan tindakan tegas pastinya akan diambil tanpa kompromi.

"Cuma saya minta semua pihak jangan menimbulkan spekulasi dan kita serahkan kepada polis menjalankan siasatan menyeluruh," jelasnya.

Katanya, perkara itu tidak seharusnya juga dipolitikkan sesiapa kerana ia isu besar yang membabitkan maruah negara.

Sepatutnya kata Mohd Azis, semua pihak perlu bersama kerajaan dalam membanteras penjualan kad pengenalan kepada warga asing ini.

Pada 12 Sep lalu, media melaporkan yang polis telah menahan 20 individu termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana disyaki terlibat dalam pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata suspek yang ditangkap di Pulau Pinang pada 19 Ogos lalu terdiri daripada 17 warga tempatan, dua warga China dan seorang warga India.

"Kesemua individu berumur antara 32 sehingga 70 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan. Individu-individu ini meliputi ejen, orang tengah, penganjur dan pemilik kad pengenalan, sijil lahir serta pasport Malaysia 'fraud'," katanya.

Lihat Komen