malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
5 pembenihan awan kurangkan kesan jerebu
ADS

Lima projek pembenihan awan berjaya dijalankan ketika negara dilanda jerebu, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata bacaan indeks pencemaran udara (IPU) semakin mencatatkan penurunan susulan operasi pembenihan awan itu selain turut disumbangkan oleh berlakunya perubahan musim.

"Kerajaan juga sedang mengambil beberapa langkah untuk jangka masa panjang," katanya kepada pemberita selepas program galakan pendaftaran taman asuhan kanak-kanak (Taska) dengan pemberian 20 peratus diskaun bil elektrik, di Putrajaya hari ini.

Yeo berkata beliau juga akan memberi kenyataan dalam masa terdekat mengenai pelan dan langkah yang akan diambil kerajaan untuk mengatasi dan menangani masalah jerebu pada masa depan.

Mengenai pembakaran terbuka di Sarawak yang memburukkan lagi kualiti udara di negeri itu - walaupun telah diberi amaran - Yeo berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) untuk mengambil langkah tambahan bagi membantu mengawal pembakaran terbuka di situ.

"Kebakaran terbuka di Sarawak berada di bawah bidang kuasa NREB, dan kementerian akan bekerjasama dengan mereka untuk memahami masalah dan menyokong kerajaan negeri untuk mengawal pembakaran terbuka di Sarawak," katanya.

- Bernama

Lihat Komen