malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Permohonan AG supaya kes komital diterima sebagai rayuan sivil ditolak
ADS

Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Peguam Negara, Tommy Thomas yang memohon prosiding permohonan komital yang difailkan bapa Muhammad Adib Mohd Kassim diterima sebagai rayuan sivil.

Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid mengekalkan permohonan komital tersebut kepada rayuan jenayah dan pihak Tommy perlu masukkan petisyen rayuan dalam tempoh masa 14 bermula 23 Oktober.

Hujahan lisan bagi perbicaraan kedua-dua pihak tersebut akan diadakan pada 22 November.

Peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Abi Mursyidin Awal berkata, Thomas telah menulis surat kepada mahkamah semalam bagi mengubah pengurusan kes yang sebelumnya jatuh bawah rayuan jenayah.

“Hari ini pengurusan kes, sepatutnya pada 30 hari bulan ini, tetapi semalam AG (Thomas) buat satu surat pada mahkamah bagi percepatkan kes.

“AG (Thomas) memohon mahkamah supaya rayuan ini diterima pakai sebagai satu rayuan sivil sebab pada pengurusan kes sebelumnya rayuan ini jatuh pada jenayah,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Seksyen Shah Alam.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy menjelaskan bahawa rayuan tersebut dibuat bagi mempercepatkan proses prosiding berkenaan.

“Rayuan dibuat bagi percepatkan permohonan dan menjalani proses pencarian bukti dakwaan campur tangan dalam inkues dan menghina mahkamah,” katanya.

Pada 16 Julai lalu, Mohd Kassim Abdul Hamid telah memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas berhubung punca kematian anaknya.

Mohd Kassim, 64, memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) melalui tetuan Mohd Zubir Embong dan Associate di Mahkamah Koroner.

Dalam permohonan itu, dia mendakwa Thomas menghina mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lepas.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas.

Dia meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

Lihat Komen