malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Titik panas: RSPO siasat anak syarikat Genting
Diterbitkan:  Sep 26, 2019 12:07 PM
Dikemaskini: 4:07 AM
ADS

Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) sedang menyiasat anak syarikat Genting berkaitan titik panas di ladang sawitnya di Kalimantan Tengah.

Ketua Pegawai Eksekutif RSPO Darrel Webber berkata dari Januari 2018 hingga September tahun ini, unit siasatan dan pemantauan (IMU) mereka mengesan terdapat 45 titik panas dalam kawasan konsesi PT Globalindo Agung Lestari.

“Bagaimanapun dalam tempoh dua minggu terakhir, IMU mendapati titik panas di kawasan itu tinggi - lebih daripada empat hari berturut-turut seminggu.

“Justeru, kami mulakan siasatan dan untuk tindakan lanjut, ia masih berjalan,” katanya dalam e-mel kepada Malaysiakini.

RSPO ialah badan pengeluar pensijilan yang mengiktiraf pembangunan lestasi sawit.

Webber berkata penerima pensijilan mereka yang melanggar prinsip dengan sengaja membuat pembakaran dalam ladang masing-masing berdepan tindakan penggantungan atau pembatalan sijil.

Beliau enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.

Greenpeace, NGO alam sekitar antarabangsa berpengaruh, semalam mendakwa Genting Group antara 12 syarikat yang paling banyak membakar ladang sawit di Indonesia dari tahun 2015 ke 2018.

Berdasarkan analisisnya, Greenpeace mendakwa dalam tempoh empat tahun itu, Genting membuat pembakaran di 8,100 hektar tanahnya.

Berdasarkan pecahan syarikat pula, Greenpeace mendakwa PT Globalindo Agung Lestari membakar 5,000 hektar tanah di Kalimantan tengah.

Genting Plantations mempertikaikan dapatan ini.

Katanya, berdasarkan peta Kementerian Perhutanan dan Alam Sekitar Indonesia, kawasan pembakaran “secara umumnya di luar” konsesi Globalindo Agung Lestari.

Data itu katanya selari dengan data dalaman mereka dari tahun 2016-2018.

[Baca berita asal]

Lihat Komen