malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes penyerang berparang: Polis buru 3 individu isu dakwaan di media sosial
ADS

Polis sedang memburu tiga individu susulan penyebaran artikel di media sosial berkenaan kes kematian seorang lelaki yang ditembak mati di Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata ia bagi membantu siasatan terhadap kenyataan yang disebarkan yang disifatkan sebagai menghasut.

"Banyak kenyataan berunsur menghasut dikeluarkan di media sosial (susulan kes tersebut).

"Daripada siasatan, kita telah kenal pasti tiga orang saspek dalam kes ini, dua dari Kedah dan seorang dari Pulau Pinang. Kita dalam usaha mengesan mereka," katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Dalam kejadian 23 September lalu, polis menembak mati seorang lelaki yang cuba menyerang polis menggunakan dua bilah parang dan sebilah pisau, yang sebelum itu menetak mati penyelia dan mencederakan seorang pengurus keselamatan.

Susulan itu, timbul dakwaan yang tular di media sosial bahawa tindakan lelaki itu kerana lelaki yang ditetak itu menghina Nabi Muhammad SAW.

"Sebenarnya tak betul. Dia ada masalah mental kerana terlalu asyik (terpengaruh) dari video-video dari Timur Tengah," kata Mior.

Semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, kes di Bayan Lepas dua hari lalu merupakan kes terpencil dan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan atau individu.

Beliau juga berkata pihak yang menyebarkan dakwaan itu berniat buruk kerana boleh menyebabkan ketegangan kaum dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka.

Hamid turut menasihati orang ramai agar tidak membuat tanggapan sendiri sehingga ia boleh menjadi pertelagahan antara agama.

Lihat Komen