malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Di PBB, Dr M selar sikap bisu, pekak pada nasib Rohingya
Diterbitkan:  Sep 25, 2019 12:46 PM
Dikemaskini: 4:46 AM
ADS

Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat seruan yang tegas kepada komuniti antarabangsa supaya meletakkan krisis Rohingya tepat pada radarnya dengan tujuan bagi menyelesaikannya sekarang.

Bercakap dalam penampilan pertama sejak tiba di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Sesi ke-74, beliau berkata adalah jelas kerajaan Myanmar tidak bersedia untuk mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan krisis itu.

“Sehubungan itu, terpulanglah kepada kita - masyarakat antarabangsa, untuk melakukan sesuatu mengenai situasi ini,” kata Dr Mahathir pada acara sampingan peringkat tinggi mengenai ‘Krisis Rohingya - Menuju Ke Hadapan’ yang berlangsung di ibu pejabat PBB di New York, Selasa.

Sebagai permulaan, beliau berkata PBB perlu memainkan peranannya, dengan mengambil kira ia diwujudkan dengan harapan dapat menghalang kesengsaraan perbuatan manusia di masa hadapan.

“Tetapi tindakan membisu (berhubung isu Rohingya) ini adalah memekakkan telinga,” katanya, kepada badan dunia itu yang akan mengadakan perhimpunan tahunan minggu ini.

Dr Mahathir juga tidak menyembunyikan kata-katanya mengenai apa yang berlaku di negeri Rakhine barat Myanmar di mana komuniti etnik Muslim Rohingya melarikan diri beramai-ramai untuk mencari perlindungan dan keselamatan diri..

“Marilah kita mulakan dengan bercakap yang benar. Apa yang berlaku di negeri Rakhine ialah pembunuhan beramai-ramai, perkosaan secara sistematik dan lain-lain pencabulan hak asasi manusia, " katanya pada majlis itu yang turut dihadiri rakan sejawatan dari Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed.

Dr Mahathir berkata ini menyebabkan etnik Rohingya melarikan diri dari negara itu secara beramai-ramai, dan paling banyak berakhir di Cox’s Bazar di Bangladesh.

“Berhubung perkara ini, kami memuji Bangladesh untuk semua yang dilakukannya, dalam menjadi tuan rumah kepada lebih 1.2 juta pelarian Rohingya,” kata Dr Mahathir sambil menambah, Malaysia pada pihaknya juga berusaha untuk melakukan apa sahaja yang boleh.

Selain menghulurkan bantuan kemanusiaan, Malaysia turut mengendalikan hospital lapangan di Cox’s Bazar serta turut membenarkan penempatan hampir 100,000 pelarian Rohingya berdaftar, dan ramai lagi yang tidak berdaftar.

“Walaupun bilangan ini kecil jika dibandingkan Bangladesh, banyak sumber yang didedikasikan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang baik sementara menanti penempatan semula di negara ketiga. Kami akan terus membantu Rohingya berdasarkan keupayaan dan kemampuan kami,” janji beliau.

Dalam mesejnya kepada negara lain, Dr Mahathir berkata: “Kami berharap negara lain akan turut menyertai kami dan Bangladesh dalam usaha kami untuk menamatkan kesengsaraan yang menimpa etnik Rohingya. Kita harus menghentikan krisis ini dan kita harus lakukan sekarang.”

Perdana menteri juga turut menegaskan lebih lama pelarian itu tinggal di kem sementara, keadaan mereka akan semakin terdesak.

“Oleh kerana itu, pelarian terdedah kepada sebarang bentuk eksploitasi. Mereka menjadi sasaran jenayah rentas sempasan seperti pemerdagangan orang dan hamba seks, antara lainnya. Dalam perkataan lain, mereka hanya dapat melihat masa depan yang suram,” kata perdana menteri.

Situasi di Myanmar, beliau berkata tidak jauh bezanya kerana ramai Rohingya yang ditempatkan di kem pelarian dalaman (IDP) di Rakhine.

Dr Mahathir berkata apabila dunia menyamakan kem IDP seperti kem tahanan terkenal di masa lampau, kerajaan Myanmar dengan segera menafikannya.

“Malah, pihak berkuasa Myanmar menghalang akses sebahagian pegawai PBB dan pekerja bantuan kemanusiaan. Jika Myanmar tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, kenapa halang orang lain untuk melihat keadaan di Rakhine? Benarkan pegawai dan pekerja bantuan ini datang melawat, memeriksa dan membantu mereka yang tinggal di kem,” katanya.

Dr Mahathir menegaskan Myanmar harus menunjukkan ia serius untuk mengurangkan krisis itu dan dengan itu, penghantaran balik harus menjadi keutamaan utama.

Perdana Menteri menarik perhatian peserta acara, bahawa dua percubaan telah dibuat untuk penghantaran semula sebahagian pelarian, tetapi kedua-duanya gagal.

“Alasannya jelas. Tiada siapa yang mahu kembali, jika keselamatan mereka tidak terjamin. Susulan itu, Malaysia akan terus mendesak penghantaran pulang dilakukan secara selamat, sukarela dan bermaruah,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata ini hanya dapat dilakukan dengan menawarkan hak kerakyatan penuh kepada Rohingya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Myanmar telah memanipulasi isu Rohingya untuk menghasut ketakutan, kebencian dan keganasan. Sehubungan itu, idea untuk menawarkan kerakyatan tidak diterima,” katanya.

Tanpa tindakan Majlis Keselamatan, beliau berkata, pihak lain harus menjalankan peranan mereka untuk menyelesaikan krisis ini dan membawa pelakunya ke pengadilan, sambil memuji usaha positif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam menangani isu Rohingya di forum antarabangsa dan keputusan untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

“Kami berharap negara lain akan menyokong usaha OIC bagi memastikan pelakunya tidak terlepas dengan jenayah kejam yang telah mereka lakukan,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen