malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Isu Jerebu: PH tak banyak beza dengan BN - Aktivis alam sekitar
ADS

Meskipun keadaan jerebu di negara semakin beransur pulih, aktivis alam sekitar membuat kesimpulan tiada perbezaan yang ketara antara kerajaan baru PH dan pentadbiran terdahulu BN dalam menangani isu jerebu yang hampir setiap tahun berlaku di negara ini.

Bagi Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil, kerajaan bukan sahaja gagal menangani secara cepat dan berkesan masalah jerebu tetapi juga isu-isu alam sekitar sedia ada.

“Kita semua tahu jerebu disebabkan oleh pembakaran hutan untuk pembukaan tanaman sawit. Memang tak boleh nafikan lagi. Terima hakikat sebenarnya.

“Apa yang berlaku sekarang penanaman sawit tidak sustainable (mampan) langsung. Hanya ketamakan oleh pihak kapitalis. Dua-dua negara patut dipersalahkan kerana tidak peka tentang penjagaan alam,” katanya kepada Malaysiakini.

Shariffa Sabrina berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Industri Utama Teresa Kok yang mengatakan tidak adil untuk terus menyalahkan industri kelapa sawit setiap kali berlaku jerebu kerana banyak syarikat itu mematuhi piawaian pertanian mampan.

Kok berkata ini kerana syarikat-syarikat perladangan besar tidak akan mengamalkan pembakaran terbuka kerana mereka patuh kepada prinsip pertanian yang baik sama ada Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) atau Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

Shariffa Sabrina menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan lebih tegas terhadap masalah alam sekitar termasuk jerebu di negara ini.

“Apa yang saya lihat kerajaan sekarang masih lemah dalam penjagaan alam dan tidak menitik beratkannya, kerana banyak masalah tak dapat diselesaikan seperti kemusnahan hutan, sungai-sungai yang makin rosak, pembangunan yang dahsyat dan sebagainya,” katanya.

Ada kemahuan, ada jalan

Antaranya, beliau menyarankan penanaman lebih banyak pokok di tanah kosong terutamanya di bandar, meminda polisi dan akta perhutanan, mengenakan denda yang tinggi termasuk hukuman penjara kepada pemilik syarikat yang terlibat dalam pembakaran hutan dan menggunakan teknologi yang boleh mengesan berlakunya pembakaran hutan serta-merta.

“Bagi saya, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. 

"Peka dah hantar memorandum tentang penukaran akta hutan tapi kerajaan masih diam. Ini maknanya kerajaan tidak serius menjaga alam sekitar,” katanya.

Selain jerebu, pada 7 Mac lepas berlaku kejadian pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang telah mencemarkan sungai sepanjang 1.5 kilometer manakala kesihatan ramai pelajar dan orang awam terjejas dipercayai disebabkan udara beracun daripada gas toksik.

Jerebu yang berlaku sejak awal bulan ini berpunca akibat pembakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.

Jabatan Meteorologi menjangkakan kualiti udara di negara ini akan bertambah baik minggu ini berikutan fasa peralihan monsun.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara tinggi di Jambi, Sumatera.

Hampir setiap tahun, jerebu menjejaskan pembelajaran pelajar apabila sekolah terpaksa ditutup dan orang ramai menghadapi masalah kesihatan seperti asma, jangkitan sakit mata dan saluran pernafasan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ecotourism and Conservation Malaysia (Ecomy) Andrew Sebastian turut sependapat dengan Shariffa Sabrina mengenai prestasi kerajaan PH dalam menangani isu alam sekitar dan jerebu.

Menurut pakar ekologi itu, kerajaan PH dilihat gagal menyelesaikan isu jerebu dengan negara jiran secara proaktif sama ada untuk jangka masa pendek atau panjang walaupun masalah ini berlaku hampir setiap tahun.

Katanya, PH sepatutnya lebih peka terhadap kehendak atau penderitaan rakyat dan juga kerosakan alam semula jadi tetapi dakwanya apa yang lebih banyak dilakukan adalah mengeluarkan komen berbanding tindakan yang sewajarnya.

“Kerajaan PH yang baru tiada perbezaan atau saya rasa lebih lemah dari segi respons mereka.

“Pembukaan kawasan baru yang dijalankan oleh ladang-ladang kelapa sawit dan petani-petani di Indonesia, kita harus paparkan sebagai satu lagi insiden terbaru di mana industri kelapa sawit perlu dipersalahkan atau perlu didedahkan sebagai salah satu sebab utama berlakunya jerebu,” katanya. 

Lihat Komen