malaysiakini logo
story-image
ADS

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Hussein Alhabshee, menggesa PH membawa suara pertubuhan itu dalam agensi milik kerajaan.

Kata Syed Hussein, pelantikan anggota DPMM dalam agensi kerajaan dirasakan perlu kerana ia boleh membantu pemerintah mengendalikan hal-hal keusahawanan di negara ini.

“Suara ahli-ahli DPMM mesti ada dalam agensi-agensi yang melibatkan keusahawanan iaitu seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), SME Bank, dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju),” katanya pada sidang media bersama di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, penyertaan anggota DPMM ke agensi-agensi milik kerajaan yang mempunyai kaitan dengan keusahawanan memang menjadi antara matlamat utama pucuk pimpinan baru badan itu sejak 5 Sept lalu. 

Kata Syed Hussein semasa zaman BN menjadi kerajaan, banyak agensi yang mengambil wakil DPMM untuk bersama mereka.

“Dulu kami ada wakil DPMM dalam Mara dan beberapa agensi yang lain, tapi sekarang tak ada ,” katanya.

Menurut beliau, jika kerajaan PH benar-benar serius untuk memperkasakan usahawan bumiputera, salah satu caranya ialah dengan melakukan apa yang dibuat BN sebelum ini.

Buat masa ini kata Syed Hussein DPMM akan menghantar surat kepada menteri berkaitan untuk membincangkan isu berkenaan dan memberikan tempoh sebulan untuk melihat kesannya.

“Lepas sebulan kalau tak ada jawapan kami akan laporkan kepada perdana menteri.

“Bukan kami nak minta duit ataupun geran tetapi untuk membawa suara-suara anggota DPMM dewan dalam agensi-agensi kerajaan,” katanya.

Lihat Komen