malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis siasat motif pekerja kilang mengamuk
Diterbitkan:  Sep 24, 2019 1:14 PM
Dikemaskini: 5:14 AM
ADS

Polis masih menjalankan siasatan terperinci termasuk mengenal pasti motif sebenar kes seorang lelaki menetak dua rakan sekerjanya sehingga seorang daripada mereka maut dalam kejadian di sebuah kilang di Bayan Lepas, dekat George Town semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T Narenasagaran hari ini berkata pihaknya masih mengumpulkan maklumat termasuk mendapatkan keterangan daripada keluarga, teman serumah dan rakan sekerja lelaki itu bagi mengetahui motif sebenar suspek bertindak sedemikian.

"Ada pelbagai andaian serta spekulasi mengenai kejadian itu namun biarlah polis menyiasat motif sebenar kejadian tersebut. Saya minta orang ramai berhenti menyebarkan maklumat tidak benar atau yang tidak mendapat pengesahan daripada polis kerana ia akan mengganggu siasatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Keselamatan Antarabangsa, di George Town.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, lelaki berumur 25 tahun dan bekerja di kilang tersebut mengamuk dalam kilang terbabit serta menetak penyelia wanita dan pengurus keselamatan menggunakan parang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt AA Anbalagan dilaporkan berkata penyelia wanita berumur 47 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan terutama di kepala.

Narenasagaran berkata berdasarkan siasatan awal, lelaki itu masuk ke kawasan kilang dan meluru ke arah penyelia wanita berkenaan sebelum menetak mangsa secara bertalu-talu pada bahagian kepala serta tangan.

"Seorang lagi mangsa iaitu pengurus keselamatan berusia 53 tahun yang mendapat maklumat berhubung kejadian cuba membantu penyelia wanita namun lelaki itu turut ditetak pada tangan. Dia masih dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Lepas dan dilaporkan stabil," katanya.

Dalam perkembangan lain, Narenasagaran berkata polis tidak menolak kemungkinan kegiatan penjualan MyKad dan sijil kelahiran yang dipercayai didalangi pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah lama beroperasi.

"Mungkin ia sudah lama beroperasi dan telah ada beberapa lapisan dalam sindiket tersebut sebab itu polis terpaksa menjalankan siasatan secara terperinci kes tersebut, kami juga tidak menolak kemungkinan kegiatan tersebut berlaku di negeri lain," katanya.

Sebelum ini, enam individu berumur dalam lingkungan 30 ke 60-an dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown atas 32 pertuduhan membabitkan aktiviti penjualan MyKad dan dokumen pengenalan diri kepada warga asing.

Mereka didakwa secara berasingan mengikut Seksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012, Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 466 Kanun Keseksaan.

Bernama sebelum ini melaporkan kejayaan polis dan jabatan kerajaan lain membongkar sindiket penjualan dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga China di negeri ini yang didalangi seorang pegawai JPN negeri.

Kes itu terbongkar selepas pegawai Jabatan Imigresen Malaysia membuat laporan polis selepas seorang wanita warga asing cuba memohon pasport negara ini dengan mengemukakan MyKad yang sah, namun tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Malaysia, Mei lalu.

Polis melalui operasi khas berjaya membongkar sindiket berkenaan yang dikatakan mengaut keuntungan antara RM100,000 dan RM600,000 hasil jualan MyKad berkenaan kepada warga asing.

- Bernama

Lihat Komen