malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kota Bharu, Tanah Merah catat IPU tidak sihat
Diterbitkan:  Sep 23, 2019 8:32 PM
Dikemaskini: 12:32 PM
ADS

Udara dua jajahan di Kelantan iaitu Kota Bharu dan Tanah Merah mula menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, hari ini.

Semakan melalui Aplikasi MyIPU mendapati Kota Bharu merekodkan bacaan 116, manakala Tanah Merah 108 setakat jam tujuh petang ini.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Keadaan jerebu mula dilihat di dua kawasan itu awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan Hamzah Mohamed, berkata bacaan IPU itu dijangka menurun di negeri itu mulai esok berikutan perubahan cuaca.

Berdasarkan bacaan IPU, katanya, Tanah Merah mula merekodkan indeks tidak sihat pada jam empat pagi, manakala Kota Bharu bermula jam tujuh pagi.

"Buat masa ini kita masih memantau bacaan IPU dan punca lain yang turut menyebabkan jerebu, misalnya pelepasan asap industri serta pembakaran terbuka. Kita akan mengambil tindakan yang tegas seperti memberi kompaun kepada mereka yang bertanggungjawab.

"Selain itu, kita juga sedang memantau kawasan tanah gambut terutama di Bachok supaya tiada pembakaran. Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga dinasihatkan memantau kawasan pengumpulan sampah supaya tiada pembakaran dilakukan," katanya sepertu dilaporkan BH Online.

Hamzah berkata, sekiranya IPU tidak sihat itu berterusan dan meningkat pihaknya akan bertindak berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Beliau berkata orang ramai diminta agar mengurangkan aktiviti luar selain tidak melakukan pembakaran secara terbuka.

Lihat Komen