malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Jenazah baru kebumi, jangan cepat sangat bincang PRK’
ADS

BN akan bermesyuarat dalam masa terdekat berhubung kekosongan kerusi Parlimen Tanjung Piai berikutan kematian penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik awal pagi Sabtu lalu.

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat itu akan dilakukan sebaik sahaja menerima notis daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jenazah baru dikebumikan semalam, jadi janganlah terlalu cepat untuk kita bincangkan perkara ini. Sehari dua ini kita sedekahkan al-Fatihah dan tahlil.

“Tapi, apa pun kita sebagai parti komponen BN bersama-sama presiden akan membincangkannya.

“Dan sudah tentu kita akan bincang dengan PAS yang juga rakan dalam Muafakat Nasional dan presiden akan maklumkan kemudian,” katanya dalam sidang media di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Farid, 43, yang merupakan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia akibat sakit jantung di Hospital Pontian, Johor, jam 6 pagi Sabtu lalu.

Allahyarham bertanding atas tiket Bersatu buat pertama kali pada pilihan raya umum ke-14 dan menewaskan penyandangnya, Wee Jeck Seng daripada MCA dengan memperolehi 21,255 undi dan majoriti 542 undi.

'MOA perlu kemuka dasar selepas permit Bernas tamat'

Mengulas pertemuannya dengan sekumpulan pengilang beras dari Kedah, Ismail berkata Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) perlu memandang serius dan bertanggungjawab dengan masalah yang melibatkan kumpulan itu dengan kadar segera.

“Jika tidak kita akan bawa permasalahan ini di sesi parlimen akan datang. Jika tidak diselesaikan ia hanya akan menyebabkan lebih banyak kilang padi berskala kecil di Kedah terpaksa ditutup," katanya yang juga bekas menteri pertanian dan industri asas tani.

Dalam pertemuan itu, kumpulan pengilang kecil beras itu menuntut MOA merangka dasar yang lebih jelas mengenai pengeluaran beras.

Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia Mohamad Termizi Yop, berkata ketiadaan dasar yang jelas akan menyebabkan lebih banyak kilang kecil ditutup apabila tamat penswastaan perkara itu pada 2021.

Pada 1996, Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) diswastakan yang menyaksikan PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) pemegang permit tunggal pengimport beras sehingga 2021.

Mohamad Termizi berkata, kira-kira 200 kilang kecil yang wujud selepas penswastaan itu kini tinggal lapan sahaja.

"Sehingga kini kami tak nampak modul yang dikatakan untuk membantu kami. Beberapa tahun lagi 2021, takkan masa itu baru nak perkenalkan," katanya lagi.

Turut hadir Adun Sungai Tiang Suraya Yaacob, Pengerusi Persatuan Seno Malay KedahTan Yen Song dan bekas Pengerusi Persatuan Pengilang Melayu Malaysia, Musonnef Md Radzi.

Pada 10 September lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub dilaporkan membuka cadangan kepada mana-mana pihak, termasuk pertubuhan peladang dan pihak swasta, yang berminat menggantikan peranan Bernas bermula 2021.

“Kita akan beri terma dan syarat merangkumi lima aspek utama termasuk tanggungjawab sosial.

“Saya yakin perkara ini boleh diselesaikan dalam tempoh enam bulan dari sekarang dan kita akan umum satu keputusan sama ada dianugerahkan kepada peneraju baharu atau meneruskan kontrak Bernas," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

 

Lihat Komen