BERITA

Kami tak boleh berdoa kepada dewa kelapa sawit - Orang Asal Indonesia

23 Sep 2019, 7:24 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Kerajaan Indonesia telah gagal melindungi hak-hak masyarakat Orang Asal yang kehilangan hutan adat dan sumber rezeki penghidupan mereka akibat kegiatan perladangan kelapa sawit di Kalimantan Barat dan Jambi, maklum suatu laporan kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch.

Dalam laporan setebal 89 halaman, berjudul “‘Kehilangan Hutan Bererti Kehilangan Segalanya’: Perladangan Kelapa Sawit dan Pelanggaran Hak Asasi Manusia di Indonesia,” Human Rights Watch mendokumentasi kemusnahan hutan dalam skala besar yang memudaratkan masyarakat setempat.

Laporan ini, disusun berdasarkan wawancara dengan lebih 100 orang dan penelitian lapangan yang luas, menyoroti berbagai cabaran yang dihadapi masyarakat Orang Asal, khususnya perempuan.

"Pemerintah Indonesia telah menciptakan sebuah sistem yang memfasilitasi perampasan hak tanah adat.”

"Sebuah jaringan kompleks — terdiri daripada syarikat domestik dan antarabangsa — terlibat mulai daripada penanaman kelapa sawit, penukaran tanaman sawit menjadi minyak, produksi bahan-bahan, dan akhirnya penggunaan bahan-bahan tersebut untuk menghasilkan produk-produk konsumer yang dijual di seluruh dunia — mulai daripada campuran biodiesel sehingga pizza beku, cokelat dan hazelnut, kueh dan marjerin, hinggalah pembuatan berbagai losen dan krim, sabun, alat kosmetik, lilin dan detergen.

"Mengingat keberadaannya wujud dalam berbagai barang konsumer, setiap orang di dunia mungkin pernah menggunakan (produk) minyak kelapa sawit dalam beberapa bentuk," kata laporan itu.

Human Rights Watch memfokuskan laporannya terhadap operasi ladang sawit dan dua syarikat, PT Ledo Lestari di Kalimantan Barat dan PT Sari Aditya Loka 1, anak syarikat Grup Jardine Matheson, di Jambi.

"Kedua ladang kelapa sawit ini menghadirkan kesan buruk kepada dua kelompok masyarakat adat: Dayak Iban, sebagian daripada suku asli Dayak di Kalimantan; dan Suku Anak Dalam (Orang Rimba), masyarakat Orang Asli separa nomad yang bergantung kepada hasil hutan di bahagian tengah Sumatera," catat laporan itu lagi.

Seorang ketua kampung dari Semunying Jaya yang pernah ditahan kerana membantah perluasan ladang PT Ledo Lestari ke kawasan hutan adat masyarakat itu memberitahu: "Hutan adalah segalanya."

"Hutan menyediakan air bersih. Air adalah darah … tanah adalah tubuh, pohon-pohon adalah nafas. Kehilangan hutan bererti kehilangan segalanya. Kami tidak bisa (boleh) berdoa kepada dewa Kelapa Sawit," katanya, petik laporan itu.

Francesca, wanita suku Dayak Iban, berusia 28 tahun dan ibu kepada dua anak berkata dia dan suaminya menolak untuk dipindahkan.

Bagaimanapun, dakwanya wakil pihak syarikat sawit membakar rumahnya, sehingga kini mereka tidak punya tempat tinggal.

"Seorang penolong pengurus (syarikat) datang ke rumah saya. Pada hari itu, anak sulung lelaki saya sedang demam. Penolong pengurus itu mengatakan kepada suami saya, “Lima hektar tanah kamu yang di sini sudah tidak ada. Dua hektar yang di sini juga sudah tidak ada. Sana, pergi ke (pejabat) syarikat dan ambil wang kamu.” Suami saya mengatakan dia tidak mahu menjual tanah kami.

"Beberapa bulan kemudian, ketika saya sedang di rumah ibu saya yang baru [di dalam ladang] dan suami saya sedang pergi ke Malaysia, tiba-tiba terdengar suara keras, lalu kami melihat asap berkepul-kepul. 

"Saya pergi untuk melihat, dan sungguh gila. Rumah saya sudah terbakar. Semua harta benda kami ada di dalam: basikal anak saya, pakaian, dan kayu-kayu yang kami kumpulkan untuk membangun rumah, semuanya musnah," katanya.

Susanti, ibu tunggal berusia 37 tahun kepada empat anak pula berkata menerima nasib yang sama dan terpaksa berpindah kerana tidak ada pilihan.

[Syarikat] membersihkan habis tanah dan memberitahu saya perlu berpindah ke tempat lain. Saya terpaksa menjual tanah saya, atau membiarkan mereka mengambilnya tanpa bayaran. Saya melakukan ini supaya dapat bertahan.

"Mereka [syarikat sawit] bahkan tidak menyediakan pengangkutan untuk memindahkan barang-barang saya [ke kawasan baru]. Mereka membakar kayu kayan saya dan semua barang-barang yang saya tinggalkan," kata Susanti.

Presiden Indonesia Joko Widodo memeriksa operasi memadam kebakaran hutan baru-baru ini.

Pada 2018, Presiden Joko Widodo mengumumkan moratorium permit baru untuk ladang kelapa sawit tetapi hakikatnya parti pemerintah yang bertukar ganti di Indonesia telah mengabaikan pemusnahan hutan yang berleluasa bagi memudahkan pengembangan perladangan kelapa sawit.

Pada bulan Mei 2013, Mahkamah Perlembagaan Indonesia memutuskan satu penghakiman penting yang memberi hak-hak Orang Asal terhadap hutan adat mereka tetapi sangat sedikit usaya yang telah dilakukan untuk mengenal pasti atau melindungi tanah-tanah ini.

Antara tahun 2001 hingga 2017, Indonesia kehilangan hutan seluas 24 juta hektar, saiz yang hampir sama dengan United Kingdom. 

Kini, terdapat sekitar 14 juta hektar tanah yang ditanam dengan kelapa sawit.

Penebangan hutan pada skala besar-besaran itu bukan sahaja mengancam kemakmuran hidup dan kebudayaan penduduk Orang Asal, tetapi juga memberi kesan terhadap dunia dalam kaitannya dengan perubahan iklim, kata laporan itu.

Kedua-dua kawasan yang diteliti dalam dokumen laporan ini, Kalimantan Barat dan Sumatera juga menjadi sumber kebakaran hutan yang telah mengakibatkan jerebu tebal melanda banyak tempat Malaysia.

[Baca berita asal]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.