malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kowangan landasan perkukuh kerjasama
Diterbitkan:  Sep 23, 2019 8:17 AM
Dikemaskini: 12:37 AM
ADS

Koperasi Kakitangan Kementerian Kewangan Sabah Berhad (Kowangan) mampu menjadi platform memperkukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan warga Kementerian Kewangan Sabah dan agensi di bawahnya, kata Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata ini sekali gus membentuk penjawat awam di kementerian berkenaan untuk sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama dalam semua peringkat urusan bagi mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam demi memakmurkan kehidupan rakyat.

“Menerajui gerakan koperasi seperti ini bukan satu usaha mudah, tetapi itulah semangat koperasi yang didasari falsafah kerjasama selain membina jaringan, memberi komitmen dan bersatu menerusi matlamat utama iaitu menjaga kebajikan ahli,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Kowangan di Kota Kinabalu malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kewangan Sabah Saripuddin Hatta.

Mohd Shafie berkata sejak ditubuhkan pada 1990, Kowangan melaksanakan tanggungjawab meningkatkan sosioekonomi ahlinya dengan mengagihkan keuntungan diperoleh daripada aktiviti dijalankan selain menyumbang kepada masyarakat memerlukan menerusi program tanggungjawab sosial korporat.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada barisan Lembaga Pengarah Kowangan atas kedudukan kewangan koperasi yang kukuh serta pemilikan satu blok kedai tiga tingkat di Jalan Teluk Sepanggar, Manggatal kerana kejayaan itu adalah bukti kerjasama jitu daripada semua pihak dalam koperasi berkenaan.

Kowangan dianggotai oleh pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan Sabah, Jabatan Bendahari negeri dan Jabatan Perkhidmatan Komputer negeri, dengan seramai 475 perintis koperasi.

- Bernama

Lihat Komen