Ong Ke Shing masih ingat dia sering membina istana dengan kotak rokok di kedai ibu bapanya ketika masih kanak-kanak.
Dia juga ingat betapa ibu bapanya sering bertengkar mengenai masalah kewangan. Ketika itu perniagaan mereka menanggung kerugian.
Kini berusia 22 tahun, dia berkata perlu mengambil empat kerja sambilan untuk menyara diri dan keluarga, pada masa sama perlu menghadiri kuliah di Universiti Malaya.
Ong menuntut jurusan sains sukan secara sepenuh masa.
Secara keseluruhan dia bekerja kira-kira 60 jam seminggu - sebagai konduktor kaji selidik, tukang urut sukan, pelayan bar dan jurulatih kecergasan.
Sudah berkerja sejak tingkatan 5, Ong berkata dia memahami bahawa dia perlu menyimpan wang untuk menyambung pelajaran di universiti.
"(Sekarang) berkerja sudah menjadi kebiasaan saya. Saya perlu berkerja.
"Kalau saya ambil cuti sehari... Keesokannya saya akan rasa bersalah kerana saya tidak mendapat wang pada hari cuti itu," katanya.
Ong mendapat pakainnya daripada pusat kitar semula atau pemberian saudara-mara.
Dia menjadi subjek dalam filem pendek bertajuk Clocked Out oleh pelajar UM, Walli Khalik. Filem itu menyentuh soal sesetengah pelajar yang bergelut untuk menyara kehidupan.
"Saya mahu tonjolkan perkara ini kerana sebagai pelajar saya juga perlu bekerja sambilan.
"Dalam sehari, (Ong) boleh kerja sehingga 15 jam dan itu tidak termasuk waktu yang diperlukan untuk menghadiri kelas.
"Apa jenis keadaan atau situasi kita pada masa ini?" soal Walli.
Dokumentari berdurasi sembilan minit itu antara yang ditayangkan di Festival Filem Bebas 2019, yang diadakan di Petaling Jaya hari ini.
Dengan tajuk 'Students Pun Mau Makan', empat mahasiswa, termasuk Walli, 27, diundang untuk berkongsi pengalaman berdepan dengan masalah kewangan.
Selain Walli, turut menjadi panel ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Multimedia Melaka (MMU) Pouria Zibaei.
Pouria mengimbas kembali protes mahasiswa MMU pada Julai lalu terhadap cadangan pengurusan universiti untuk menaikkan yuran aktiviti pelajar (SAF) daripada RM110 kepada RM500 setahun.
Walaupun jumlah itu tidak menjadi masalah kepada segelintir pelajar, bagi yang lain ia adalah kenaikan yang sangat tinggi, katanya.
"Ada pelajar yang bersusah walaupun untuk tambahan seringgit sehari.
"Saya dalam tahun akhir maka kenaikan tidak akan menjejaskan saya, tapi saya tidak peduli.
"Bila anda jadi presiden majlis pelajar, anda ada tanggungjawab terhadap semua pelajar," katanya.
'Berdepan masalah kemiskinan'
Seorang lagi pelajar UM Umar Aiman, 23, berkata dia lahir dan dibesarkan di kawasan kelas pertengahan di Subang Jaya.
"Jadi pada masa itu, saya tidak terdedah kepada kesukaran pelajar. Bila saya belajar di Kolej Matrikulasi Johor, saya mula terdedah kepada apa yang dihadapi pelajar lain.
"Saya nampak satu trend yang sedang berlaku iaitu pelajar yang berdepan masalah kemiskinan," katanya.
Dia kemudian memutuskan untuk memulakan food bank untuk membantu pelajar-pelajar lain.
Dia bermula secara kecil-kecilan iaitu membantu 20 pelajar dengan dananya sendiri yang terhad atau sumbangan kecil rakan dan keluarga.
Usaha itu kemudian mendapat rangsangan apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memulakan inisiatif food bank peringkat nasional yang menyasarkan 20 universiti awam - termasuk UM - pada awal tahun ini.
Katanya, food bank yang dimulakannya kemudian mendapat beberapa pulih ribu dana agar dapat membantu lebih ramai pelajar.
Pada masa sama, ahli Kesatuan Pelajar UM (Umsu) Naznur Farahani Md Yusof berkata sebahagian daripada usahanya adalah untuk memastikan pengurusan memberi perhatian kepada kesusahan pelajar.
Selain itu, katanya lagi, pihaknya cuba membantu pelajar melalui biro kebajikan Umsu, bukan hanya berdasarkan dokumentasi.
"Kami tidak suka kaedah yang digunakan pengurusan, yang menentukan sama ada seseorang itu dalam kategori B40 berdasarkan dokumen mereka.
"Kerana kami lihat mereka yang dikategorikan B40 berdasarkan dokumen, tetapi gaya hidup mereka tidak menunjukkan hal itu...sementara ada yang bukan dalam kategori itu hidup lebih susah," katanya.
Selain memberi makanan kepada pelajar yang memerlukan, dia berkata pihaknya cuba memberikan keperluan lain kepada pelajar seperti alat tulis dan malah alat kebersihan diri.
Menurut laporan awal tahun ini, ramai pelajar universiti bergelut masalah kewangan dan terpaksa makan sekali sehari, atau membuat kerja sambilan untuk menyara kehidupan.