malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Aktivis: Ibu bapa malu antara punca anak OKU tak berdaftar
ADS

Ibu bapa yang malu kerana mempunyai anak kurang upaya (OKU) antara punca anak anak-anak berkenaan tidak didaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, kata aktivis OKU Ruziah Ghazali.

Ruziah, yang merupakan ahli Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya, berkata itu antara sebab 549,554 orang OKU didaftarkan sehingga Jun 2019, sedangkan terdapat kira-kira 4.8 juta OKU di negara ini, yang seterusnya menyebabkan yang tidak berdaftar dinafikan keistimewaan pemegang kad OKU.

"Di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, sehingga 15 peratus penduduk di negara adalah orang kurang upaya.

"Malaysia mempunyai kira-kira 32 juta penduduk, jika kita mengira jumlah ini, kita belum mencapai 50 peratus OKU yang didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya kepada Malaysiakini.

Ruziah berkata walaupun sesetengah ibu bapa anak-anak ini kaya dan tidak memerlukan bantuan kerajaan, pendaftaran anak-anak kurang upaya masih penting kerana jumlah yang berdaftar akan mempengaruhi perancangan pembangunan jangka panjang kerajaan untuk kumpulan ini secara keseluruhan.

Beliau berkata antara manfaat memegang kad OKU adalah elaun RM400 sekiranya pekerja OKU mendapat kurang daripada RM1,200 di tempat kerja mereka, pembaharuan pasport dan cukai jalan, dan RM150 elaun jika mereka terlantar atas katil.

Bagaimanapun, beban untuk menimbulkan kesedaran kepada ibu bapa tidak seharusnya dilakukan oleh kerajaan Persekutuan sahaja, kata Ruziah.

"Kerajaan negeri dan pihak berkuasa daerah perlu berkongsi tanggungjawab.

"Sebagai contoh, hanya Selangor dan Kelantan yang mempunyai Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya, yang dibentuk di bawah inisiatif mereka sendiri.

"Di mana negeri-negeri lain? Kami menggalakkan mereka untuk membentuk majlis-majlis yang sama untuk memastikan pembangunan dan agenda sampai kepada kumpulan ini. Mereka boleh memainkan peranan yang besar untuk memujuk ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak kurang upaya di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat," kata Ruziah yang juga Penasihat Kehormat Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia.

Beliau berkata terdapat perbincangan dalam Majlis Kebangsaan Bagi OKU untuk menggesa kerajaan mengguna pakai Akta Kanak-kanak bagi memastikan bahawa kanak-kanak ini didaftarkan.

Bagaimanapun, katanya ia masih di peringkat perbincangan awal.

Ruziah menjelaskan bahawa majlis berkenaan, yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bekerja keras untuk menghapus stigma yang melihat membantu orang kurang upaya sebagai kebajikan dan menukarnya kepada perspektif berasaskan hak.

"Apabila datang untuk membantu orang kurang upaya, orang awam mengaitkannya sebagai kebajikan, kami tidak mahu simpati, dan kami mahu hak-hak kami diperlakukan dengan adil sebagai orang yang berkebolehan.

"Apabila kita ditawarkan pekerjaan, kita tidak mahu dapat kerana simpati, tetapi hak kita untuk memiliki kerjaya seperti orang lain. Ingatlah bahawa hak orang cacat juga telah didaftarkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat ," katanya.

April lalu, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kuota minimum satu peratus OKU yang bekerja di sektor awam akan dikekalkan.

Wan Azizah berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mencapai 1.77 peratus, dengan Kementerian Pertahanan menduduki tempat kedua dengan 0.98 peratus manakala Pejabat Sekretariat Negeri Terengganu berada di tempat ketiga dengan 0.97 peratus jawatan yang diisi oleh OKU.

Ruziah menyorot bahawa jumlah keseluruhan hanya 0.29 peratus.

"Saya berharap agensi kerajaan akan memberi peluang kepada mereka yang berkelayakan untuk bekerja," katanya.

Lihat Komen