malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Parti komponen PH mesti bersatu, kata Loke
ADS

Semua parti komponen PH perlu bersatu dan mengekalkan formula yang digunakan ketika pilihan raya umum (PRI) tahun lalu untuk memastikan kemenangan parti itu pada PRU ke-15, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata selain itu, ia juga bertujuan bagi berdepan dengan tekanan yang diberikan daripada penyatuan Umno-PAS.

"Kita mesti yakin dan kita mesti percaya bahawa formula kemenangan kita pada PRU ke-14 mesti dikekalkan. Apa formulanya?

"Formulanya ialah semua parti komponen dalam PH menyatupadukan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama untuk satu hasrat iaitu menyelamatkan Malaysia.

"Kita nak berikan keyakinan kita kepada rakan komponen daripada PKR, Bersatu dan Amanah bahawa DAP akan tetap sebagai rakan yang setia kepada PH dan kita tak akan sesekali melupakan perjuangan kita dan asas persefahaman kita dalam PH.

"Kita harap ini dapat kita perkukuhkan," katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan kali ke-20 di Seremban hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Pengerusi PH negeri yang juga Menteri Besar Aminuddin Harun dan barisan kepimpinan komponen PH negeri.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan turut menyeru semua komponen PH supaya memainkan peranan masing-masing untuk memastikan perjuangan parti tidak melencong.

"Jadi jangan bimbang atau gusar, kalau kita terus kekalkan perpaduan dan pastikan rakyat terus diberi perhatian, pastinya PRU ke-15 kita akan menang," katanya.

- Bernama

Lihat Komen