malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Loke: PH perlu pertahankan kerusi Tanjung Piai
Diterbitkan:  Sep 22, 2019 11:20 AM
Dikemaskini: 3:20 AM
ADS

PH akan berusaha mempertahankan kerusi parlimen Tanjung Piai, Johor dalam pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan tidak lama lagi, kata Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia semalam, Loke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata untuk itu, semua jentera PH - baik diperingkat pusat mahu pun negeri - perlulah bekerja keras.

"Kita akan menghadapi PRK Tanjung Piai dan ia menjadi ujian besar kepada kita dalam PH.

"Bagi mengenang jasa, budi dan sumbangan Dr Md Farid, kita mesti mengembleng tenaga dan menggerakkan jentera kita untuk memastikan kerusi Tanjung Piai dipertahankan, " katanya dalam ucapan sempena Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar Aminuddin Harun serta barisan pemimpin komponen PH negeri.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan turut menyifatkan Allahyarham Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai seorang pemimpin yang berwawasan dan pemergiannya merupakan kehilangan besar buat negara dan PH.

Terdahulu, semua perwakilan dan pemimpin yang hadir bertafakur selama seminit pada awal sesi konvensyen itu bagi memperingkati kematian Md Farid.

Semalam, Md Farid, 42, yang juga Naib Ketua Bersatu Tanjung Piai, meninggal dunia sekitar 6 pagi di Hospital Pontian akibat serangan jantung.

- Bernama

Lihat Komen