malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bebanan, lebih masa kerja antara punca masalah mental - Pakar
ADS

Tempoh kerja yang panjang serta bebanan kerja di luar kemampuan jasmani merupakan antara punca yang boleh mempengaruhi masalah kesihatan mental seseorang.

Menurut Ketua Jabatan, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental di Hospital Putrajaya Dr Azizul Awaluddin, masalah mental tercetus apabila terdapat kegagalan dalam mencapai keseimbangan kehidupan dan pekerjaan (worklife balance).

“Biasanya sekiranya seseorang itu dibebankan dengan kerja di luar kemampuannya, kemungkinan pada masa tertentu dia diberikan skop kerja sekian banyak tetapi apabila dalam masa-masa tertentu, majikannya mungkin memberikan kerja yang berlebihan kepadanya.

“Jadi kerja (seseorang) itu pada peringkat awal boleh dilakukan tetapi apabila kerja itu melangkaui kebolehannya untuk melakukannya, (tetapi) beban kerja tersebut menyebabkan seseorang itu tidak boleh bertahan dengan apa yang dilakukannya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tidak menuding jadi terhadap mana-mana pihak, Azizul akui tempoh kerja yang panjang ini berlaku apabila seseorang itu terpaksa berbuat demikian ekoran kekangan kewangan.

“Kita dapati ada individu yang disebabkan kekangan kewangan contohnya atau keperluan sosial, mereka menjalani kerja, masa kerja yang terlalu panjang.

“Kita dapati ada sesetengah orang yang mengadu tentang kerjanya sampai satu hari (seharian) atau mungkin sampai 12 jam, sampai 16 jam atau 20 jam.

“Kalau dia bekerja syif, mungkin sampai dua syif atau pun tiga syif sekali buat. Ini pun merupakan salah satu faktor,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh (gambar) menyarankan supaya orang ramai perlu mendapatkan rawatan psikiatri sekiranya merasakan diri mereka atau anggota keluarga mereka mempunyai masalah kesihatan mental.

Yeoh berkata, bagi memastikan intervensi penyakit mental, majikan turut memainkan peranan penting dalam memastikan 'worklife balance' iaitu masa untuk bekerja dan bersama ahli keluarga.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati bahawa 29.2 peratus rakyat Malaysia mengalami tekanan atau masalah kesihatan mental.

Azizul berkata, kesedaran rakyat Malaysia mengenai masalah mental masih di tahap yang rendah kerana stigma yang tinggi sehingga menyebabkan individu tersebut mungkin disisihkan atau dipandang sebagai seseorang yang berbahaya.

Katanya, selain faktor tempoh kerja yang panjang serta bebanan kerja, gangguan di tempat kerja juga boleh menyumbang kepada faktor tersebut terutamanya apabila individu tersebut dibuli atau menerima gangguan seksual dan takut untuk membuat aduan.

Mengulas lanjut mengenai desakan kehidupan yang menyebabkan sesetengah pekerja tiada pilihan tetapi terpaksa berkerja lebih masa, beliau menegaskan bahawa seseorang itu harus mencari masa untuk dirinya sendiri demi kesihatan mental mereka.

“Macam mana sekalipun, kalau seseorang itu ada banyak kerja, sama ada kerja dia bertimbun-timbun atau pun kerjanya banyak, tetapi dia harus mahir mengendalikan pekerjaan tersebut supaya dia ada masa untuk dirinya juga.

“Sebab kita tahu bahawa ramai orang harus bekerja untuk tempoh masa yang panjang atas keperluan tertentu tetapi apabila dia mahir untuk mengendalikan masa bekerja, daya tindak tentang stres berkaitan kerja, kerja dalam satu pasukan yang baik di tempat kerja, nescaya atau kemungkinan besar, perkara-perkara yang melibatkan masalah kesihatan mental dapat dikurangkan,” katanya. 

Lihat Komen