BERITA

'Ahli PAS kini gelisah dengan k'jaan campuran bersama Umno'

21 Sep 2019, 10:55 pagi

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Senator Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata ahli-ahli PAS kini mulai resah dan gelisah dengan timbulnya cadangan untuk membentuk kerajaan campuran dengan Umno.

Kamarul berkata keadaan itu berlaku tidak sampai seminggu selepas kedua-dua parti itu menandatangani piagam bersama di Himpunan Penyatuan Ummah di (PWTC minggu lalu.

Malah beliau turut mendakwa Timbalan Menteri Besar Kelantan,  Mohd Amar Nik Abdullah mempertikaikan hasrat Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk membawa masuk Umno ke dalam kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan.

"Nik Amar, naib Presiden PAS menyatakan terlalu awal untuk kerajaan campuran didirikan.

"Kalau ahli PAS di bawah diminta wala' kepada pemimpin, kenapa naib presiden menyanggah kenyataan Tuan Guru Presiden?" soalnya dalam kenyataan.

Pada 14 Sept lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengakui parti itu ada merancang untuk membawa Umno menyertai pentadbiran Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun Abdul Hadi semalam dilapor berkata masih terlalu awal untuk PAS dan Umno menubuhkan kerajaan campuran kerana kedua-dua parti menjalinkan taawun siyasi yang bermaksud kerjasama, bukan tahaluf siyasi yang bermaksud gabungan dua parti.

Pada hari yang sama Mohd Amar mengulangi kenyataan Abdul Hadi bahawa tiada keperluan ke arah pelaksanaan kerajaan campuran buat masa ini walaupun kedua-dua pihak telah memeterai kerjasama minggu lalu.

"Kalau pun tiada kerajaan campuran tapi hubungan PAS dan Umno masih sama.

"Dalam sidang Dun, mereka masih lagi pembangkang yang mesra kerajaan," kata Mohd Amar.

Bagaimanapun, Kamarul mempertikaikan penafian berkenaan seminggu selepas Abdul Hadi mengemukakan cadangan pembentukan kerajaan campuran. 

"Selepas seminggu berfikir, adakah kenyataan tersebut kerana akar umno PAS sudah resah gelisah maka sesuatu kenyataan penafian mesti dibuat?" soal timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu.

Malah katanya, pimpinan utama PAS juga dilihat mulai bimbang Umno akan "mengambil" alih kerajaan negeri dari PAS selepas Piagam Muafakat Nasional ditandatangani.

"Nampaknya piagam tersebut adalah percubaan separuh masak terdesak PAS dan Umno untuk menyelamatkan parti masing-masing.

"Sekali lagi penyokong bawahan PAS dipermainkan oleh pimpinan mereka yang menggadai prinsip perjuangan untuk bergabung dengan Umno untuk cuba merebut kuasa dengan cara yang terdesak," katanya.