malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes bunuh wanita ditemui berbungkus selimut: Reman lelaki disambung
ADS

Seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit kes bunuh seorang wanita yang mayatnya ditemui berbungkus dalam selimut di sebuah pangsapuri di Prima Damansara, Petaling Jaya, 11 September lalu, disambung reman enam hari lagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata suspek disambung reman mulai esok sehingga Jumaat ini (22 Sept hingga 27 Sept) bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Suspek disambung reman mulai esok hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini suspek direman seminggu dan tamat reman pada hari ini.

Pada Ahad lepas, polis menahan lelaki berumur 40 tahun itu pada kira-kira 1.30 pagi selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin, Negeri Sembilan.

Sebelum ini​​​ seorang wanita ditemui berbungkus dalam selimut yang diletakkan dalam timbunan bantal di pangsapuri berkenaan pada 11 September lepas.

Hasil bedah siasat polis mendapati wanita itu dipercayai mati akibat sesak nafas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

- Bernama

Lihat Komen