malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan jamin Kg Baru hanya untuk Melayu - Khalid Samad
ADS

Kerajaan memberi jaminan sekiranya pembangunan semula Kampung Baru, Kuala Lumpur dilaksanakan dan tidak mampu dibeli orang Melayu, tanah berkenaan tidak akan dibuka kepada bukan Melayu atau ditukar status kepada pegangan bebas (freehold).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, tanah di Kampung Baru tidak akan dijual kepada bukan Melayu seperti termaktub dalam Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu Seksyen 14 (14).

"Saya yakin orang Melayu ada yang mampu beli. Saya beri jaminan bahawa kita takkan jual tanah Kampung Baru kepada yang bukan Melayu.

"Ini dalam syarat akta tanah, tak boleh dibuka (Kepada bukan Melayu)," katanya semasa sesi soal jawab bersama pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru, yang turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun di Dewan Perdana Felda hari ini.

Khalid berkata, kerajaan akan membuat penilaian dan memberi pampasan kepada pemilik tanah jika terdapat aset atau bangunan dibina atas tanah mereka sekiranya tawaran untuk pembangunan semula kampung itu diterima.

"Pemilik (tanah) dia akan menerima bukan sekadar harga untuk tanah mereka, tetapi juga untuk aset rumah, atau apa-apa bangunan yang ada di atas tanah mereka.

"Kita (kerajaan) akan buat penilaian dan juga akan dibayar pampasan," katanya yang juga anggota parlimen Shah Alam.

Tambah Khalid, idea untuk membangunkan semula Kampung Baru mendapat sambutan memberangsangkan daripada penduduk, namun isunya terletak pada harga yang ditawarkan kerajaan untuk membeli tanah dengan nilai RM650 hingga RM850 satu kaki persegi.

"Kadar yang ditawarkan adalah berdasarkan kod penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) iaitu (mengikut) prosedur operasi standard kerajaan.

"Yang utama (adalah) isu harga, sejauh mana kerajaan sanggup untuk beli tanah mereka. Kita ambil harga yang tertinggi, RM850 satu kaki persegi," katanya.

Khalid mengharapkan semua pemilik tanah mengambil kira perkara tersebut pada saat kerajaan ingin membeli tanah mereka untuk membangunkan Kampung Baru dan menjualnya semula kepada orang Melayu.

"Kita nak beli (untuk) bangunkan, selepas itu kita nak jual pada masyarakat Melayu," katanya.

Lihat Komen