malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anak dakwa bapa ditembak mati polis tiada rekod jenayah
ADS

Keluarga warga Sri Lanka yang mati ditembak anggota polis mengemukakan bukti bagi mempertikaikan dakwaan pihak berkuasa bahawa mangsa mempunyai kes jenayah dan tiada rekod kemasukan imigresen.

V Janarthanan, 40 merupakan salah seorang daripada tiga lelaki yang terbunuh dalam insiden tembakan pada 14 Sept lalu di Batu Arang, Rawang.

Polis Selangor ketika memberitahu pihak media berkata Janarthanan merupakan anggota kumpulan samseng yang terlibat dalam kes rompakan termasuk yang berlaku di Sentul pada 2016.

Polis turut menyangkal dakwaan keluarganya bahawa lelaki berkenaan yang memiliki taraf Penduduk Tetap di United Kingdom baru sahaja tiba ke negara ini dan pemeriksaan tidak menemui sebarang rekod kemasukannya.

Pada sidang akhbar hari ini, anak lelaki Janarthanan, P Logitharan berkata bapanya bekerja sebagai pengurus di sebuah pasar raya di Portsmouth, UK pada 2016.

Oleh itu,  katanya, adalah mustahil bapanya melakukan sebarang jenayah di Malaysia kerana berada di UK pada masa itu.

Logitharan juga menunjukkan butiran penerbangan yang dinaiki bapa dan keluarganya.

Jadual perjalanan itu menunjukkan mereka berlepas dari Lapangan Terbang Gatwick di London pada 26 Ogos tahun ini dan tiba di KLIA keesokan harinya menerusi penerbangan QR852 Qatar Airways.

Beliau juga memaparkan tag bagasi yang mengandungi nama dan nombor penerbangan Janarthanan. 

Butiran penerbangan itu menunjukkan Janarthanan dijangka menaiki pesawat pulang ke London pada 23 Sept.

Berdasarkan dokumen-dokumen berkenaan, peguam keluarga, P Uthayakumar mendakwa polis 'campur tangan' terhadap rekod imigresen melibatkan Janarthanan.

"Sekarang Ketua Polis Selangor (Noor Azam Jamaludin) dan ketua CID (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Adnan Azizon) adalah pembohong. Adakah mereka telah ceroboh (rekod)?

"Siapa yang padamkan rekod imigresen? Siapa yang musnahkannya?"Soalnya.

Ibu Logitharan, G Moganambal juga dikatakan terlibat dalam kejadian tembakan itu tetapi tidak terbunuh dan kini dipercayai hilang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen