malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jangan malu dapatkan rawatan sakit mental - Timb menteri
Diterbitkan:  Sep 20, 2019 5:28 PM
Dikemaskini: 9:28 AM
ADS

Orang ramai perlu segera mengubah stigma terhadap penyakit mental dan membuang rasa malu untuk mendapatkan rawatan psikiatri sekiranya merasakan diri atau anggota keluarga mereka mempunyai masalah sedemikian.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata pencegahan awal dan rawatan itu adalah perlu kerana kajian menunjukkan kira-kira 30 peratus daripada populasi rakyat Malaysia berhadapan dengan masalah penyakit mental.

"Nombor (30 peratus) itu akan terus naik sekiranya tiada intervensi berterusan dan dijangka menjadi penyakit kedua terbesar menjejaskan rakyat Malaysia selepas penyakit jantung menjelang tahun 2030.

"Bagi memastikan mereka tampil ke hadapan untuk mendapatkan rawatan, selain talian Kasih 15999 dan panggilan percuma untuk Befrienders, kami turut memperkenalkan rawatan kaunseling percuma terus ke pintu rumah mereka menerusi ‘Psychological Care Centre (PCC)’ di kawasan perumahan seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) sejak 2016," katanya.

Yeoh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Etiqa's First-in-Malaysia Critical Illness Rider with Mental Illness Coverage (IL CI Plus) di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata bagi memastikan intervensi penyakit mental, majikan turut memainkan peranan penting dalam memastikan 'work life balance' iaitu masa untuk bekerja dan bersama ahli keluarga.

"Hal ini kerana penyakit mental turut terjadi dalam kalangan kanak-kanak yang bermula dengan kemurungan, kesunyian serta tiada interaksi bersemuka akibat taksub terhadap gajet," katanya.

Sementara itu, Yeoh berkata Etiqa merupakan syarikat insurans terkemuka yang pertama di Malaysia mengiktiraf penyakit mental boleh dilindungi oleh insurans sehingga RM30,000.

"Rawatan penyakit mental mungkin memerlukan kos yang tinggi kerana ia tidak dapat disembuhkan dalam tempoh yang singkat. Dengan liputan insurans, beban itu dapat dikurangkan.

"Kami berharap dengan langkah Etiqa menyediakan perlindungan untuk penyakit mental, lebih banyak syarikat insurans di negara ini akan turut berbuat demikian," katanya.

- Bernama

Lihat Komen