malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Tiada status warganegara buat pembeli rumah MM2H’
Diterbitkan:  Sep 20, 2019 5:23 PM
Dikemaskini: 9:23 AM
ADS

Kerajaan memberi jaminan tidak memberikan status kewarganegaraan kepada rakyat asing yang membeli rumah mewah tidak terjual menerusi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan hanya bercadang menawarkan visa selama 10 tahun kepada bakal pembeli mengikut syarat tertentu.

“Tidak ada pemberian MyKad atau dokumen Penduduk Tetap (PR) yang dijanjikan, hanya visa selama 10 tahun. Perkara ini akan dibincang di peringkat kabinet.

“Bagaimanapun, warga asing berkenaan mesti mempunyai ‘liquid asset’ supaya dapat memberi sumbangan kepada negara,” katanya menambah bahawa kempen pemilikan rumah itu adalah terbuka dan tidak terhad kepada warga China dan Hong Kong sahaja.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada balu Mejar Mohd Zahir Armaya, Nour Shafinar Harun di Kem Wardieburn di Kuala Lumpur, hari ini.

Allahyarham Mohd Zahir yang juga anak kepada seniman terkenal AR Badul meninggal dunia selepas terkena tembakan dalam satu demonstrasi sempena penubuhan 5 Divisyen di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah pada 4 Sept lepas.

Pada lawatan lebih setengah jam itu, Dr Wan Azizah diiringi Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Gerak Khas Mejar Jeneral Datuk Hasan Ali dan Pengarah 21 Gerak Khas Kolonel Othman Mustaffa.

Dr Wan Azizah berkata demikian bagi mengulas kebimbangan orang ramai terhadap kemungkinan pemberian status kewarganegaraan diberi kepada warga asing yang membeli rumah mewah tidak terjual menerusi program MM2H.

Baru-baru ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mencadangkan penganjuran MM2H kepada pembeli warga asing bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual sebagai sebahagian daripada usaha untuk memulihkan ekonomi negara.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata terdapat tujuh negeri tidak bersetuju menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.

Negeri-negeri terbabit adalah Sarawak, Pahang Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan, katanya.

Menerusi Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Oktober lepas, kerajaan menetapkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun bagi bukan Islam dan Islam, lelaki serta perempuan di semua negeri.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang meminda Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun bagi perempuan.

“Permohonan perkahwinan bawah umur di bawah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) pula diperketat melalui pewujudan prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan bawah umur yang mengambil kira aspek sosial dan kesihatan pemohon,” katanya.

Jelas Dr Wan Azizah, Jakim juga sedang membuat penyelarasan dengan negeri-negeri berhubung enakmen undang-undang keluarga Islam.

- Bernama

Lihat Komen