malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Agong, PM solat Istisqa tolak bencana
Diterbitkan:  Sep 20, 2019 4:08 PM
Dikemaskini: 9:07 AM
ADS

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama hampir 1,000 jemaah menunaikan solat Istisqa menolak bencana jerebu yang semakin teruk melanda beberapa kawasan di Malaysia sejak dua minggu ini.

Solat sunat Istisqa, yang diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, itu dilakukan selepas solat Jumaat di Surau Utama Istana Negara di Kuala Lumpur.

Turut menunaikan solat sunat Istisqa ialah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad serta orang kenamaan lain yang hadir antaranya Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Zulkifli Zainal Abidin, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Semua masjid di seluruh negara ini disaran melaksanakan solat sunat Istisqa selepas solat Jumaat hari ini bagi memohon doa diturunkan hujan bagi mengurangkan masalah jerebu serta bencana tidak diingini.

Jerebu melanda beberapa negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak berikutan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan yang menyebabkan jerebu rentas sempadan dan memberi kesan kepada kualiti udara serta peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Setakat 3 petang ini, tahap kualiti udara di kawasan Sri Aman, Sarawak terus kekal dalam kategori berbahaya dengan

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Penolong Pengarah Agama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia, ACP Ghazali Daud dan mengikuti khutbah khas sempena sambutan Hari Pahlawan yang disambut bulan ini.

Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun namun tarikh penganjuran majlis itu pada tahun ini diubah daripada tarikh perisytiharan asal bagi memberi laluan dan mengelakkan pertindihan dengan beberapa acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai lepas.

Keberangkatan tiba Seri Paduka, yang berbaju Melayu berwarna ‘peach’, di Surau Utama Istana Negara kira-kira 1.10 tengah hari, diiringi Dr Mahathir serta dua anakanda Al-Sultan Abdullah, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Al-Sultan Abdullah bersama jemaah turut mendengar khutbah khas bertajuk ‘Pahlawan: Pengorbanan Yang Tiada Galang Ganti’ yang dibacakan Ghazali.

Solat Jumaat itu disiarkan secara langsung menerusi RTM1.

Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka berkenan bergambar bersama pesara polis dan veteran tentera sebagai kenang-kenangan.

- Bernama

Lihat Komen